SHAANXI: Seorang remaja lelaki di China diselamatkan selepas bertahan selama 10 hari di kawasan pergunungan bersalji tanpa sebarang bekalan makanan.
Sun Liang, 18, dilaporkan menggunakan air sungai, salji cair dan turut memakan ubat gigi bagi meneruskan hidup dalam keadaan cuaca ekstrem di barat laut negara itu.
Menurut laporan The Independent, Sun memulakan pendakian di laluan Ao-Tai di Pergunungan Qinling, wilayah Shaanxi pada 8 Februari lalu.
Bagaimanapun, dua hari kemudian, remaja itu terputus hubungan dengan keluarganya selepas telefon bimbitnya kehabisan bateri ketika berada pada ketinggian 2,500 meter.
Ketika cuba mencari jalan keluar dengan mengikuti aliran sungai, Sun beberapa kali tergelincir di kawasan curam sehingga menyebabkan lengan kanannya patah.
Bagi melindungi dirinya daripada kesejukan melampau, dia berlindung di balik batu besar dan menggunakan daun kering sebagai alas tidur.
Selepas 10 hari terperangkap, Sun akhirnya diselamatkan apabila terhidu bau asap daripada api pasukan penyelamat sebelum menjerit meminta pertolongan.
Laluan Ao-Tai sepanjang 170 kilometer yang terletak di Pergunungan Taibai pada ketinggian purata 3,000 meter, dikenali sebagai satu daripada laluan pendakian paling berbahaya di China.
“Selepas kejadian ini, saya sangat takut. Ao-Tai bukan tempat sesuai untuk didaki kerana cuacanya terlalu ekstrem dan tiada pemandangan yang menarik. Saya ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mencuba laluan ini kerana nyawa jauh lebih berharga,” katanya selepas diselamatkan.
Misi menyelamat Sun melibatkan lebih daripada 30 anggota penyelamat dan dianggarkan menelan belanja sekitar 80,000 yuan (RM52,800) yang ditanggung sepenuhnya oleh keluarganya.