JAKARTA: Seorang kanak-kanak maut manakala tujuh lagi dilaporkan hilang selepas hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Pulau Jawa, kata pihak berkuasa Indonesia hari ini.
Hujan lebat yang melanda ibu negara, Jakarta dan kawasan sekitarnya sejak awal minggu ini memaksa ribuan penduduk berpindah, selain mendorong pihak berkuasa menggunakan teknologi pengubahsuaian cuaca bagi mengawal keadaan.
Bagaimanapun, cuaca buruk berlarutan ke wilayah Jawa Barat semalam, dengan daerah Sukabumi menjadi antara kawasan yang paling terjejas apabila ratusan kemudahan awam termasuk sekolah dan hospital mengalami kerosakan serta dinaiki air.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Daerah, Andrie Setiawan berkata, bencana tersebut berpunca daripada cuaca ekstrem dan hujan berintensiti tinggi yang berlarutan dalam tempoh yang lama.
“Seorang kanak-kanak ditemukan maut, manakala tujuh lagi mangsa dari tiga daerah berasingan hilang,” katanya kepada AFP.
Kata beliau, sekurang-kurangnya 18 bandar di daerah itu terjejas akibat bencana berkenaan dan lebih 200 penduduk dipindahkan ke kawasan lebih selamat.
Indonesia sering dilanda tanah runtuh ketika musim hujan yang biasanya berlaku dari November hingga April setiap tahun.
Perubahan iklim turut meningkatkan intensiti ribut, sekali gus menyebabkan hujan lebat, banjir kilat dan angin kencang yang lebih dahsyat.