LONDON: Saintis memberi amaran semua glasier mungkin tidak akan bertahan sehingga abad ke-21, memandangkan lima daripada enam tahun terakhir mencatatkan kemerosotan glasier paling pantas dalam sejarah.
Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mendedahkan glasier di kebanyakan bahagian dunia sedang mencair pada kadar yang membimbangkan dan sejak direkodkan pada 1975, kesemua glasier kehilangan lebih daripada 9,000 bilion tan jisim, bersamaan dengan lapisan ais sebesar Jerman dan setebal 25 kilometer (km).
Walaupun kehilangan ini sederhana di kawasan seperti Artik Kanada atau Greenland, beberapa kawasan lain seperti Alps dan Pyrenees di Eropah mengalami kesan yang lebih teruk iaitu kehilangan 40 peratus jisim antara tahun 2000 dan 2023.
Menurut laporan itu, pencairan glasier ini bukan sahaja mengancam bekalan air tawar global, malah turut meningkatkan risiko banjir yang dahsyat dengan pakar menganggarkan kira-kira 10 juta orang di seluruh dunia dalam bahaya akibat fenomena ini.
Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo menegaskan pemeliharaan glasier bukan hanya keperluan alam sekitar, ekonomi, dan sosial, malah ia adalah soal kelangsungan hidup.
Secara semula jadi, glasier mengecil pada bulan-bulan musim panas dan membesar semula dengan salji padat yang turun pada musim sejuk. Proses ini telah mengekalkan kestabilan glasier sepanjang musim selama puluhan atau ratusan ribu tahun.
Namun, sejak manusia mula mengeluarkan sejumlah besar karbon dioksida (CO2) dan gas rumah hijau lain ke atmosfera, keseimbangan ini telah terganggu. Iklim yang semakin panas, yang dikaitkan secara saintifik dengan aktiviti manusia, menyebabkan glasier cair lebih pantas pada musim panas dan pulih lebih perlahan pada musim sejuk.
Pada tahun 2024, glasier dunia kehilangan 450 bilion tan jisim semasa mengecil, tahun keempat terburuk dalam rekod. Glasier di Scandinavia, Svalbard, dan Asia Utara mencatatkan kehilangan tahunan terbesar dalam sejarah.
Menurut kajian WMO, tempoh antara 2022 dan 2024 mencatatkan kehilangan jisim glasier terbesar dalam tempoh tiga tahun yang pernah direkodkan. Kajian terkini juga mendapati glasier mengecil begitu pantas sehingga melepaskan purata 273 bilion tan air setiap tahun, atau 6,542 bilion tan antara 2000 dan 2023.
Saulo menambah tujuh daripada 10 tahun dengan keseimbangan jisim paling negatif telah berlaku sejak 2016 dan jika trend ini berterusan, WMO percaya bahawa ‘ais abadi’ di teras yang banyak glasier tidak akan bertahan melebihi tahun 2100.