GAZA: Berjuta-juta rakyat Palestin berisiko menghadapi kebuluran apabila Israel kembali menyekat semua kemasukan bekalan makanan dan barangan lain ke Gaza seperti yang berlaku pada awal peperangan.
Keputusan Israel untuk menyekat makanan dan bantuan menimbulkan kebimbangan berhubung sebarang kemajuan yang dicapai semasa enam minggu gencatan senjata sebelum ini.
Israel mengumumkan langkah itu hanya beberapa jam selepas umat Islam di Gaza berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.
Sekatan bantuan secara tiba-tiba menyebabkan penduduk Gaza bergegas ke pasar dan mengumpulkan sedikit bekalan.
Timbalan Pengarah Program Bantuan Perubatan untuk Palestin di utara Gaza, Mahmoud Shalabi berkata, harga barang di wilayah itu meningkat tiga kali ganda akibat pengumuman tersebut, menyaksikan penduduk Gaza terus bergelut untuk meneruskan kehidupan.
Fasa pertama gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari, membolehkan peningkatan jumlah bantuan masuk ke Gaza dengan purata 600 trak sehari.
Trak bantuan tersebut sepatutnya terus memasuki Gaza sepanjang tiga fasa gencatan senjata, walaupun peringkat pertama berakhir minggu lalu.
Namun, Hamas mendakwa tidak sampai 50 peratus jumlah trak yang membawa bahan api dibolehkan masuk ke wilayah itu.
Kumpulan itu juga mendakwa, kemasukan haiwan hidup dan makanan ternakan, kunci kepada keselamatan makanan, turut disekat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penyedia bantuan kemanusiaan lain mengecam keputusan itu, dengan menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menggesa agar bantuan kemanusiaan segera kembali disalurkan ke Gaza.
Beliau turut mendesak semua pihak melakukan segala usaha untuk mengelak kembalinya permusuhan agar semua tebusan dibebaskan seperti dijanjikan.
Ketua Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Thomas Fletcher, pula menyifatkan keputusan Israel menghentikan bantuan ke Gaza sebagai situasi membimbangkan dan berkemungkinan melanggar undang-undang antarabangsa.
Wartawan AFP di lapangan menyaksikan trak sarat dengan barangan berbaris panjang di sempadan Mesir dekat lintasan Rafah, selepas Israel mengumumkan penggantungan bantuan.
Beberapa jam selepas pengumuman Israel, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Agung Israel untuk menghalang kerajaan daripada menyekat banguan masuk ke Gaza.
Mereka mendakwa, tindakan itu melanggar kewajiban Israel di bawah undang-undang antarabangsa dan boleh dianggap sebagai jenayah perang. – AFP/AP