KASUNGU: Sejumlah penduduk di pinggir kawasan Taman Negara Kasungu menuntut ganti rugi daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas pemindahan lebih 250 ekor gajah ke kawasan itu, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 10 kematian penduduk.
Penduduk kampung berhampiran Taman Negara Kasungu, yang merupakan taman kedua terbesar di Malawi dan bersempadan dengan Zambia, mendakwa mereka hidup dalam ketakutan berikutan peningkatan konflik antara manusia dan hidupan liar sejak 263 ekor gajah dipindahkan ke kawasan itu pada Julai 2022.
Seramai 10 individu yang mendakwa terjejas akibat pemindahan gajah dari Taman Negara Liwonde telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Dana Antarabangsa untuk Kesejahteraan Haiwan (Ifaw), menuntut NGO pemuliharaan itu membina pagar keselamatan di sekeliling 167 kampung berhampiran taman negara serta memberi pampasan atas kerosakan yang berlaku.
Menurut komuniti setempat, lebih 50 kanak-kanak menjadi yatim piatu antara Julai 2022 hingga November 2024 akibat gajah yang dipindahkan.
Selain itu, dua kematian lain juga dikaitkan secara tidak langsung dengan pemindahan gajah tersebut iaitu satu mangsa dibunuh seekor badak air yang dipercayai terusir dari habitatnya akibat kehadiran gajah, manakala seorang lagi maut akibat serangan sekumpulan dubuk yang didakwa mengikuti jejak gajah keluar dari taman negara.
Penduduk tempatan turut mendakwa gajah sering merosakkan tanaman dan memusnahkan hasil pertanian mereka.
Sementara itu, Ifaw dalam satu kenyataan mengesahkan sudah menerima notis tindakan undang-undang pada Disember lalu dan menolak sebarang dakwaan salah laku.