WASHINGTON: Kajian terbaharu Amerika Syarikat (AS) mendedahkan, satu dalam 15 rakyat negara itu pernah menyaksikan kejadian tembakan besar-besaran.
Ia sekaligus menunjukkan betapa serius dan mendalamnya kesan keganasan senjata yang melanda negara itu sejak beberapa dekad lalu.
Kajian yang dijalankan oleh Universiti Colorado Boulder mendapati kira-kira tujuh peratus orang dewasa di AS pernah berada di lokasi kejadian sepanjang hayat mereka, manakala lebih dua peratus lagi mengalami kecederaan semasa kejadian tersebut.
“Kajian ini mengesahkan tembakan besar-besaran bukanlah tragedi terpencil, tetapi ia adalah realiti yang menyentuh sebahagian besar populasi, dengan kesan fizikal dan psikologi yang mendalam,” kata pengarang kanan kajian, David Pyrooz, seorang profesor sosiologi dan pakar kriminologi di Institut Sains Tingkah Laku UC Boulder kepada Phys.org.
“Ia juga menekankan keperluan intervensi dan sokongan kepada kumpulan yang paling terjejas,” katanya.
Menurut Arkib Keganasan Senjata, sejak 2014 hampir 5,000 kejadian tembakan besar-besaran telah didokumentasikan di seluruh negara dengan lebih 500 kejadian berlaku setiap tahun sejak 2020.
Universiti itu mentakrifkan ‘tembakan besar-besaran’ sebagai jenayah berkaitan senjata api di mana empat atau lebih individu ditembak di kawasan awam.
Penyelidik Universiti Colorado juga mentakrifkan ‘kehadiran fizikal’ sebagai ‘berada di kawasan berhampiran lokasi kejadian tembakan pada masa ia berlaku, di mana peluru dilepaskan ke arah anda, anda dapat melihat penembak, atau anda mendengar bunyi tembakan’.
Dalam tinjauan terhadap 10,000 orang, hampir tujuh peratus responden menjawab ‘ya’ bagi soalan sama ada mereka secara peribadi pernah berada di lokasi tembakan besar-besaran sepanjang hayat, manakala 2.18 peratus responden menyatakan mereka mengalami kecederaan.
Kecederaan tersebut bukan sahaja termasuk ditembak, tetapi juga terkena serpihan peluru, dipijak oleh orang yang melarikan diri, atau mengalami kecederaan lain semasa cuba menyelamatkan diri.