JOHANNESBURG: Sekumpulan saintis Afrika Selatan yang kini terperangkap di pangkalan penyelidikan Sanae IV, Antartika, merayu diselamatkan selepas mendakwa seorang daripada mereka bertindak ganas dan mengancam untuk membunuh rakan sekerja.
Pasukan penyelidik berkenaan terpaksa bertahan di lokasi itu sekurang-kurangnya 10 bulan lagi kerana keadaan cuaca ekstrem menyukarkan sebarang usaha keluar-masuk ke kawasan tersebut.
Kedudukan pangkalan yang terpisah beribu-ribu kilometer dari benua asal mereka juga menyebabkan tiada jalan mudah untuk pulang.
Menurut satu emel yang didedahkan oleh akhbar Sunday Times di Afrika Selatan, seorang ahli pasukan mendakwa dirinya diserang secara fizikal oleh rakan sekerja, selain menerima ugutan bunuh.
Lebih membimbangkan, individu yang sama turut dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang lagi anggota pasukan.
“Malangnya, kelakuannya semakin membimbangkan. Dia telah menyerang secara fizikal, yang jelas melanggar keselamatan diri dan norma tempat kerja. Lebih dahsyat, dia mengugut untuk membunuh, sekali gus mencetuskan suasana ketakutan dalam pasukan.
“Saya kini hidup dalam kebimbangan, tertanya-tanya sama ada saya akan menjadi mangsa seterusnya,” tulis pengadu dalam emel berkenaan.
Pengadu turut menzahirkan rasa tidak selamat dengan kehadiran individu itu serta merayu tindakan segera diambil demi keselamatan mereka.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar Afrika Selatan, Dion George berkata, beliau akan berhubung sendiri dengan pasukan berkenaan untuk menilai situasi sebenar.
“Keadaan di sana sangat mencabar. Ruang yang sempit serta tempoh pengasingan yang lama boleh menyebabkan tekanan mental. Saintis yang dihantar ke sana sebenarnya sudah melalui penilaian psikologi ketat bagi memastikan mereka mampu bertahan dalam persekitaran ekstrem,” katanya.
Setakat ini, masih belum jelas apakah tindakan lanjut yang akan diambil pihak berkuasa Afrika Selatan terhadap insiden ini. – AGENSI