LONDON: Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan saintis baru-baru ini mendakwa penduduk Britain yang membina monumen ikonik Stonehenge berkemungkinan besar memiliki kulit gelap.
Kajian yang dijalankan oleh saintis dari Universiti Ferrara, Itali menganalisis 348 genom purba dari seluruh Eurasia, menunjukkan hampir semua penduduk Eropah mempunyai kulit gelap sehingga kira-kira 3,000 tahun lalu.
Memandangkan Stonehenge yang terletak berhampiran bandar Glastonbury dibina sekitar 5,000 tahun lalu, pakar percaya para pembinanya juga berkulit gelap.
Para saintis berkata, sehingga kira-kira 1,700 tahun lalu, majoriti penduduk Eropah masih memiliki kulit gelap, termasuk masyarakat Yunani dan Rom purba serta penduduk Britain yang membina Stonehenge, dengan ciri-ciri rambut dan mata yang turut gelap.
Dr. Silvia Ghirotto, ahli biologi evolusi dari Universiti Ferrara yang mengetuai kajian itu memberitahu mereka dapat memberikan gambaran awal mengenai ciri-ciri manusia purba yang membina Stonehenge selepas menganalisis DNA purba yang diperoleh daripada 348 individu dalam tempoh 45 ribu tahun.
“Dengan menganalisis DNA purba daripada 348 individu dalam tempoh 45,000 tahun, kami membina gambaran yang menunjukkan bahawa pigmentasi cerah muncul secara sporadik dalam fasa awal kehadiran manusia di Eropah.
“Memandangkan Stonehenge dibina dalam tempoh peralihan dari Zaman Neolitik ke Zaman Gangsa dan berdasarkan kekerapan tinggi sampel berkulit gelap yang kami kesan dalam tempoh tersebut di Eropah Utara, besar kemungkinan penduduk Britain yang membina Stonehenge memiliki ciri-ciri gelap,” katanya kepada The Telegraph.
Kajian itu mengesahkan perubahan kepada kulit cerah berlaku lebih perlahan daripada yang disangkakan sebelum ini, dipercayai akibat pergerakan manusia ke latitud lebih tinggi dan pengambilan vitamin D yang meningkat.
Sampel kajian diambil dari Kepulauan British, Eropah daratan, Russia, Asia Tengah dan Asia Barat.
Stonehenge merupakan sebahagian sejarah penting Britain dan monumen itu kini tertutup kepada orang ramai, dengan pengunjung hanya dibenarkan berjalan di sekelilingnya dari jarak tertentu.