LONDON: Saintis dari Britain menginovasi genetik pisang supaya kekal segar dan kuning selama 24 jam selepas dikupas, termasuk apabila dihiris.
Ketua Eksekutif Tropic, syarikat bioteknologi yang berpangkalan di Norwich, Gilad Gershon, berjaya mengekalkan kesegaran buah tersebut, yang lazimnya mudah bertukar lebam atau lembik.
“Tiada lagi pisang berlendir lembik dan lebam.
“Pisang inovatif ini mengekalkan kesegaran sekurang-kurangnya selama 12 jam selepas dikupas dan dihiris, serta mengalami 30 peratus kurang perubahan warna selepas 24 jam,” kata Gershon yang bertanggungjawab dalam kejayaan itu.
Beliau berkata, rasa, bau dan tekstur pisang masih kekal sama, namun hanya isinya tidak cepat bertukar lebam, menjadikannya lebih segar apabila berada di dalam salad buah.
Syarikat Tropic berjaya menyahaktif gen yang menghasilkan enzim polyphenol oxidase, penyebab utama perubahan warna, lapor The Mail on Sunday.
Teknik itu berbeza dengan pengubahsuaian genetik kerana ia membuat perubahan tepat pada gen sedia ada tanpa memperkenalkan bahan genetik asing.
Pisang tersebut sudah mendapat kelulusan untuk dijual di Filipina, Colombia, Honduras, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, dengan pelancarannya dijadualkan bulan ini.
Bagaimanapun, pengguna di Britain masih perlu menunggu lebih lama, mungkin sehingga pertengahan 2026, sebelum dapat mencuba pisang inovatif itu kerana penjualan tumbuhan yang disunting gen masih dilarang di negara tersebut.
Namun, Rang Undang-Undang Pembiakan Ketepatan yang diperkenalkan kerajaan Konservatif kini berada di peringkat akhir di Parlimen.
Jika diluluskan tahun ini, ia akan membuka laluan bagi penjualan pisang inovatif tersebut di United Kingdom (UK).