SAO PAULO: Sekumpulan penyelidik dari Brazil dengan kerjasama pakar dari Universiti Hong Kong (HKU) menemukan satu lagi jenis koronavirus baharu yang berasal dari kelawar, namun kesannya terhadap manusia masih belum dapat dipastikan.
Virus yang ditemui itu mempunyai persamaan dengan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV), yang pertama kali dikesan di Arab Saudi pada 2012 dan telah menyebabkan lebih 850 kematian selain merebak ke lebih 20 negara.
Menurut penyelidik utama kajian, Bruna Stefanie, pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada virus tersebut boleh menjangkiti manusia.
Namun, mereka telah mengesan bahagian protein lonjakan virus itu iaitu komponen utama yang membolehkannya melekat pada sel mamalia untuk memulakan jangkitan sekaligus menunjukkan kemungkinan ia boleh berinteraksi dengan reseptor yang digunakan oleh MERS-CoV.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Medical Virology (JMV) itu melibatkan pemeriksaan terhadap 423 ekor kelawar daripada 16 spesies berbeza dengan sampel diambil melalui calitan oral dan rektum, sebelum penyelidik mengesan kewujudan virus baharu itu dalam seekor kelawar pemakan serangga.
Kajian itu turut mendedahkan virus baharu tersebut mempunyai persamaan genetik sebanyak 72 peratus dengan MERS-CoV, manakala protein lonjakannya mencatatkan kesamaan 71.74 peratus dengan protein lonjakan virus MERS, yang berperanan penting dalam proses jangkitan.
Seperti MERS, virus itu berpotensi menyebabkan simptom seperti demam, batuk, sesak nafas, cirit-birit dan muntah, serta boleh membawa maut dalam kes yang teruk dan sehingga kini, masih tiada vaksin khusus bagi MERS-CoV.
Para penyelidik merancang untuk menjalankan eksperimen lanjut di makmal biosekuriti tinggi di Hong Kong dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada virus ini mampu menjangkiti manusia atau sebaliknya.