JAKARTA: Bank Indonesia (BI) menegaskan penyusutan nilai tukaran rupiah yang mencecah 16,640 rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tidak akan mencetuskan krisis kewangan seperti tahun 1998.
Ketua Jabatan Dasar Makroprudensial BI, Solikin M. Juhro, berkata situasi semasa jauh berbeza dengan krisis yang melanda lebih dua dekad lalu kerana asas ekonomi negara kini jauh lebih kukuh.
“Secara fundamental, kita masih berada dalam keadaan stabil. Penyusutan nilai rupiah ketika ini lebih dipengaruhi oleh sentimen global dan bersifat sementara. Keadaan ini sangat berbeza dengan tahun 1998, di mana kita tidak mempunyai mekanisme mitigasi yang mencukupi,” katanya pada Taklimat Media Bank Indonesia mengenai Dasar Kecairan di Ibu Pejabat BI, Jakarta Pusat, hari ini.
Beliau menjelaskan pada tahun 1998, nilai rupiah menjunam secara drastik daripada 2,800 rupiah kepada sekitar 16,000 rupiah bagi setiap dolar AS dalam tempoh singkat berikutan kelemahan sistem kewangan domestik dan rizab asing yang terhad sekitar AS$20 bilion (RM88.6 bilion) sahaja.
Namun, ketika ini, rizab asing Indonesia mencecah AS$150 bilion (RM665 bilion), memberikan perlindungan yang lebih kukuh terhadap tekanan luaran.
“Jika dibandingkan dengan negara lain di rantau ini, penyusutan nilai rupiah masih dalam tahap yang terkawal. Malah, tahun lalu, Indonesia merupakan antara negara dengan prestasi ekonomi terbaik dalam kalangan rakan serantau,” katanya.
Sebagai langkah mitigasi, BI akan terus mengekalkan kestabilan nilai rupiah menerusi campur tangan pasaran dan koordinasi dasar bersama kerajaan.
Selain itu, BI turut memperkukuh peraturan serta mekanisme pengurusan risiko dengan melaksanakan Undang-Undang Pembangunan dan Pengukuhan Sektor Kewangan, selain membangunkan protokol pengurusan krisis yang lebih menyeluruh untuk menangani cabaran termasuk dalam sektor digital dan teknologi.
Tegas Solikin, penyusutan nilai rupiah kali ini bukan petanda krisis, sebaliknya hanya dipacu oleh sentimen jangka pendek.
“Asas ekonomi kita masih kuat. Permintaan daripada sektor korporat dan isi rumah masih terpelihara, dan Indonesia kekal sebagai antara negara dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil,” katanya. -AGENSI