Ribuan penduduk Gaza berpindah selepas Israel beri amaran lancar serangan lagi - Utusan Malaysia

Ribuan penduduk Gaza berpindah selepas Israel beri amaran lancar serangan lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ribuan penduduk Palestin meninggalkan kediaman mereka selepas tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan bagi beberapa kejiranan yang diisytihar ‘zon pertempuran berbahaya’ susulan serangan di Beit Lahiya, utara Semenanjung Gaza.

Orang awam mula berpindah sejak awal pagi semalam ke bandar berhampiran iaitu Jabalia, untuk mencari perlindungan selepas tentera Israel mengarahkan penduduk Beit Hanoun di utara Gaza serta Khuza’a dan Abasan di selatan supaya segera meninggalkannya.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee dalam akaun X berkata, demi keselamatan penduduk, mereka perlu segera berpindah ke tempat perlindungan yang berada di Bandar Gaza dan di Khan Younis.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar, berkata, tanpa pembebasan tebusan, Israel tiada pilihan selain menyambung semula operasi ketenteraan.

Rumah Putih memaklumkan bahawa Israel telah merujuk kepada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebelum melancarkan serangan itu dan Israel berkata bahawa tindakan kembali berperang itu ‘diselaraskan sepenuhnya’ dengan Washington.

Jurucakap Jabatan Negara AS, berkata bahawa Hamas perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyambungan semula pertempuran.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara di seluruh dunia mengecam serangan berkenaan, manakala keluarga tebusan Israel merayu kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, supaya menghentikan keganasan kerana bimbang nyawa orang tersayang mereka terancam.

Ketua Setiausaha PBB, Antonio Guterres, berkata penduduk Gaza sedang menghadapi ‘tahap penderitaan yang tidak tertanggung’ akibat serangan itu.

Dalam pada itu, Britain, Perancis dan Jerman menggesa pertempuran dihentikan segera manakala Iran, yang menyokong Hamas, mengecam gelombang serangan itu sebagai ‘sambungan kepada genosid’ di wilayah Palestin.

Russia dan China memberi amaran terhadap peningkatan ketegangan, sementara Mesir, Qatar, Jordan dan Turkiye turut mengutuk keganasan yang berlaku.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, berkata bahawa serangan itu adalah sebahagian daripada ‘usaha yang disengajakan untuk menjadikan Semenanjung Gaza tidak layak didiami dan memaksa penduduk Palestin berpindah’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya