Remaja Israel sanggup dipenjara daripada jadi tentera bunuh rakyat Palestin - Utusan Malaysia

Remaja Israel sanggup dipenjara daripada jadi tentera bunuh rakyat Palestin

Itamar Greenberg
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Seorang remaja Israel menghabiskan 197 hari di penjara selepas berulang kali menolak untuk menyertai tentera dalam tempoh setahun.

Itamar Greenberg, 18 tahun yang digelar sebagai “refusenik” atau penentang wajib tentera, telah menjalani hukuman lima kali berturut-turut di penjara tentera kerana menolak panggilan perkhidmatan wajib, yang dikenakan ke atas kebanyakan rakyat Yahudi Israel dan sebahagian minoriti lain yang berusia 18 tahun ke atas.

Greenberg menyifatkan keputusannya sebagai kesedaran moral, lebih-lebih lagi selepas melihat perang Israel di Gaza yang tercetus berikutan serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023.

“Saya tidak boleh memakai pakaian seragam yang melambangkan penindasan dan pembunuhan,” katanya.

Di Israel, khidmat ketenteraan dianggap sebagai satu penghormatan, kewajipan, dan sebahagian daripada identiti kebangsaan di mana sejak kecil, kanak-kanak Israel telah dididik mereka akan menjadi tentera yang melindungi negara, dengan sesi khas di sekolah bagi menggalakkan penyertaan dalam Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Keengganan Greenberg menyertai tentera membuatkan dia dihina dan dianggap sebagai pengkhianat.

“Saya dipanggil sebagai Yahudi pembenci diri, penyokong pengganas, dan dikhianati oleh keluarga sendiri,” katanya, sambil mendedahkan dia turut menerima ancaman bunuh melalui media sosial.

Walaupun majoriti rakyat Israel masih menyokong operasi ketenteraan, rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu semakin memuncak.

Ramai penunjuk perasaan menyalahkan Netanyahu kerana lebih mementingkan kelangsungan politiknya daripada keselamatan negara disamping mengkritik keputusan kerajaan yang melancarkan serangan baharu ke atas Gaza, yang disifatkan membahayakan 24 tebusan Israel yang masih dipercayai ditahan oleh Hamas.

Bagi Greenberg dan kumpulan “refusenik”, gelombang bantahan ini memberi harapan lebih ramai rakyat Israel akan menolak perang sebagai satu bentuk penentangan dan walaupun jumlah masih lagi kecil, mereka percaya penolakan terhadap perang akan terus berkembang di tengah-tengah krisis politik yang melanda negara tersebut. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya