NEW DELHI: Seorang remaja berusia 18 tahun dari India mencatatkan namanya dalam Guinness World Records sebagai individu lelaki dengan wajah paling berbulu di dunia selepas pegawai mengesahkan dia mempunyai 201.72 helai bulu bagi setiap sentimeter persegi kulit.
Lalit Patidar memperoleh pengiktirafan tersebut setelah didiagnosis menghidap keadaan pertumbuhan bulu yang jarang berlaku dikenali sebagai hipertrikosis atau “sindrom serigala jadian”.
Keadaan ini amat jarang berlaku dengan anggaran hanya seorang dalam satu bilion orang mengalaminya, dan kira-kira 50 kes pernah direkodkan sejak Zaman Pertengahan.
Menurut Guinness World Records, lebih 90 peratus wajah Patidar ditumbuhi bulu sejak beliau masih kanak-kanak.
“Masa di sekolah, kawan-kawan pada mulanya takut dengan saya, tetapi selepas mereka mula mengenali dan bercakap dengan saya, mereka faham saya tidak berbeza daripada mereka. Cuma luaran saya kelihatan lain, tetapi saya tetap sama di dalam,” katanya.
Dia turut mendedahkan ada pihak yang menyarankan agar bulu di wajahnya dibuang.
“Tidak banyak yang perlu saya jelaskan kepada mereka. Saya suka dengan penampilan saya dan tidak mahu mengubahnya,” ujarnya.
Patidar, yang berkongsi kehidupan hariannya di YouTube, melahirkan rasa bangga kerana menerima pengiktirafan tersebut.