LONDON: Bilangan rakyat Amerika Syarikat (AS) yang memohon kewarganegaraan Britain mencapai tahap tertinggi tahun lalu, dengan lonjakan ketara pada suku terakhir 2024.
Peningkatan itu serentak dengan kemenangan semula Donald Trump dalam pilihan raya presiden AS, November lepas.
Menurut data daripada Pejabat Dalam Negeri United Kingdom (UK), lebih 6,100 rakyat AS memohon kewarganegaraan negara itu tahun lalu, jumlah tertinggi sejak rekod bermula pada 2004.
Lonjakan itu turut menunjukkan peningkatan ketara berbanding 2023, apabila kurang daripada 5,000 rakyat AS memohon kewarganegaraan UK.
Permohonan rakyat AS melonjak dalam tiga bulan terakhir 2024, dengan lebih daripada 1,700 permohonan – jumlah tertinggi dalam mana-mana suku tahun sejak dua dekad lalu.
Lonjakan itu mengingatkan kepada peningkatan direkodkan dalam enam bulan pertama 2020, apabila lebih 5,800 rakyat Amerika melepaskan kewarganegaraan mereka, hampir tiga kali ganda daripada jumlah keseluruhan pada 2019.
Penganalisis ketika itu berpendapat, peningkatan tersebut berpunca daripada penggal pertama Trump sebagai presiden dan perubahan dalam dasar cukai, dengan kebanyakan melepaskan kerakyatan adalah warga AS yang sudah lama menetap di Britain.
Trump sendiri boleh memohon kewarganegaraan Britain melalui mendiang ibunya, Mary Anne MacLeod, yang dilahirkan dan dibesarkan di Scotland sebelum berhijrah ke AS pada usia 17 tahun untuk bekerja sebagai pembantu rumah pada 1930.
Memandangkan ramai rakyat AS berebut untuk mendapatkan pasport UK, sebilangan warganegara Britain pula mula mencari alternatif mereka sendiri.
Selepas undian UK untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 2016, jumlah rakyat Britain yang memohon pasport Ireland – yang memberi hak bekerja, menetap dan melancong di seluruh Eropah- mencapai hampir dua kali ganda.