BAITULMUQADDIS: Lebih 170 kanak-kanak terkorban dalam tempoh sehari selepas serangan udara besar-besaran dilancarkan tentera Israel di Semenanjung Gaza awal pagi kelmarin.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan jumlah itu merupakan antara angka tertinggi yang pernah direkodkan di Gaza, malah melebihi jumlah kematian tahunan.
“Keadaan di Gaza ketika ini amat teruk. Letupan demi letupan terus berlaku seolah-olah tidak akan berhenti,” kata seorang doktor sukarelawan di Hospital al-Ahli di Gaza City, Dr. Razan al-Nahhas.
Beberapa video yang dikongsi media antarabangsa menunjukkan orang ramai dalam keadaan tertekan dan panik selepas serangan dilancarkan.
Ada yang berlari-lari mencari ahli keluarga mereka dan ada yang menangis meratapi kematian insan tersayang.
Orang ramai juga memenuhi pekarangan hospital di Gaza bagi mengenal pasti mayat yang dapat dikumpul, selain petugas perubatan ‘tidak menang tangan’ merawat mangsa-mangsa yang cedera.
Kebanyakan hospital memaklumkan, jumlah kematian meningkat apabila penduduk awam yang melarikan diri bagi mencari perlindungan terkena bedilan serangan udara Zionis.
Sehingga kini, jumlah korban dianggarkan melebihi 400 orang dan dijangka terus meningkat susulan ramai yang cedera parah.
JUMLAH MAYAT SEMAKIN BANYAK
Di Gaza City, pasukan doktor sukarelawan memberitahu, sejak pukul 2 pagi waktu tempatan, kesemua hospital yang masih beroperasi berterusan menerima pesakit dan mayat penduduk yang terkorban.
“Bayi, kanak-kanak memenuhi segenap ruang hospital. Kesemuanya berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah,” menurut Razan.
Melalui balkoni satu daripada hospital berkenaan, Razan memberitahu dia melihat barisan mayat ‘beratur’ dengan 50 daripadanya hanya ditutup dengan selimut kerana bilik mayat sudah penuh.
Situasi sama berlaku di seluruh Semenanjung Gaza, menyaksikan sistem kesihatan di wilayah itu terus kritikal dengan bekalan ubatan terhad.

Seorang penduduk, Rajab Abu Sultan berkata, dia dan penduduk lain tidak henti-henti mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
“Ada yang selamat, ada yang tidak. Hampir kesemuanya kanak-kanak. Apa dosa mereka?,” katanya.
SERANGAN AKAN TERUS DILANCARKAN
Di sebalik rakyat Gaza meratapi nasib mereka, Israel terus angkuh apabila menyatakan mereka akan terus melancarkan serangan sehingga Hamas tunduk pada desakan mereka.
Tentera Zionis dan kumpulan pejuang Hamas saling menuduh antara satu sama lain mengenai persetujuan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.
Israel menuduh Hamas enggan mematuhi syarat membebaskan tebusan, manakala kumpulan pejuang itu pula mendakwa Zionis melanggar perjanjian gencatan senjata yang sudah dipersetujui.
Setiausaha Rumah Putih, Karoline Leavitt memaklumkan, Israel sudah pun memberitahu kepada Presiden Donald Trump mengenai rancangan mereka untuk melancarkan serangan di Gaza kelmarin.
Tentera Israel masih meneruskan operasi di Gaza biarpun gencatan senjata dilaksanakan pada 19 Januari, namun serangan udara yang dilancarkan kelmarin menandakan gencatan itu tidak lagi berfungsi.
‘KEMBALI KE NERAKA’
Serangan terbaharu Israel itu menyaksikan mimpi ngeri rakyat Palestin di Gaza tidak bernoktah.
Seorang penduduk, Majid Nasser menyifatkan situasi mereka ketika ini sama seperti ‘kembali ke neraka’.
“Ketika kami sekeluarga sedang tidur, kami dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.
“Saya keluar dari rumah untuk tengok di mana lokasi letupan itu dan dalam sekelip mata, bom digugurkan betul-betul tepi rumah kami.
“Saya dengar ibu dan adik perempuan saya menjerit dan mendapati ada kanak-kanak terperangkap bawah runtuhan, namun syukur mereka masih hidup,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Zeyad Abed berkata, dia menjangkakan Gaza dapat menikmati Ramadan yang lebih tenang dan selamat tahun ini, namun sangkaannya meleset.
“Apa yang berlaku terhadap kami adalah neraka. Neraka dunia,” ujarnya.
Bagi Fedaa Heriz pula, penduduk yang terbunuh ketika tidur paling menyedihkan.
Katanya, mereka mengunci jam untuk bersahur, namun mereka akhirnya tidak ‘bangun dari tidur’ buat selama-lamanya.
“Kami berpuasa di dunia, namun ketika sahur, ada di antara kami sudah ke syurga. Ini ujian Allah dan kami terima dengan reda,” katanya.