Putin sokong usul gencatan senjata, Zelensky ragu-ragu

Putin sokong usul gencatan senjata, Zelensky ragu-ragu

VLADIMIR PUTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin menyatakan sokongan terhadap usul gencatan senjata selama 30 hari di Ukraine, namun belum memuktamadkan keputusannya sama ada untuk melaksanakannya atau tidak.

Putin menegaskan, gencatan senjata itu perlu disusuli dengan tindakan membendung punca kepada konflik yang berlaku antara negara itu dengan Ukraine.

Russia menceroboh Ukraine pada Februari 2022, menyaksikan ratusan ribu orang terbunuh dan cedera, jutaan yang lain kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan infrastruktur secara besar-besaran.

Sokongan Putin itu memberikan isyarat yang bagus kepada Amerika Syarikat (AS), sekali gus membuka peluang perbincangan yang lebih teliti dengan Presiden Donald Trump.

“Kami menyokong usul gencatan senjata itu. Ideanya adalah benar. Namun, kita perlu tangani punca sebenar kepada konflik ini terlebih dahulu sebelum melakukan perkara lain,” katanya.

Katanya, terdapat beberapa isu lain yang perlu diketengahkan bagi memastikan rundingan damai, termasuk gencatan senjata yang mahu dilaksanakan itu berkesan secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Trump menyifatkan kenyataan yang dibuat Putin ‘amat meyakinkan’ dan berharap Moscow akan melakukan ‘perkara yang sewajarnya’.

Trump memberitahu, wakil khasnya, Steve Witkoff sudah pun melakukan beberapa perbincangan serius dengan wakil Russia di Moscow mengenai usul gencatan senjata tersebut.

Katanya, siri rundingan itu akan menunjukkan sama ada Putin benar-benar bersetuju melakukan gencatan senjata atau sebaliknya.

“Jika Russia bersetuju, semua pihak akan gembira, dan jika tidak, ia adalah momen paling menyedihkan dan mengecewakan buat seluruh dunia,” kata Trump.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky beranggapan Putin sebenarnya mahu menolak usul tersebut, namun ‘takut’ untuk memberitahu Trump.

“Itu sebab kenapa Moscow mengenakan beberapa syarat untuk membolehkan gencatan senjata itu dilakukan. Putin sebenarnya tidak mahu ia berlaku,” katanya.

Sebarang penangguhan terhadap gencatan senjata itu akan memberi ruang kepada Russia untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di Ukraine dan mengusir tentera negara itu dari barat Russia.

Putin menyatakan pasukan tenteranya hampir menguasai semua pertahanan hadapan di Ukraine dan menegaskan gencatan itu tidak boleh dijadikan sebagai taktik Kyiv untuk menyusun semula kedudukan tenteranya dan melancarkan serangan balas. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya