MOSCOW: Presiden Vladimir Putin mencetuskan kemarahan ramai selepas menghadiahkan pengisar daging elektrik kepada ibu-ibu tentera yang berduka susulan kematian anak-anak mereka dalam perang.
Tindakan yang dianggap tidak sensitif dianjurkan oleh parti pemerintah Putin, United Russia menerima kritikan hebat dalam media sosial, memandangkan istilah ‘pengisar daging’ sering digunakan untuk menggambarkan nasib tragis tentera Russia yang dihantar ke medan perang berisiko tinggi di Ukraine.
Hadiah tersebut diagihkan di Murmansk yang dilabel sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan dan mengerikan malah pengkritik menuduh Kremlin sengaja mempermainkan pengorbanan besar dilakukan oleh tentera dan keluarga mereka.
Dalam usaha mengawal reaksi negatif, pegawai Russia merakam video seorang ibu yang kehilangan anaknya mengucapkan terima kasih bagi hadiah pelik tersebut.
“Saya berterima kasih kepada United Russia kerana hadiah ini,” katanya dalam video yang diatur.
Wanita itu mendakwa dia ‘memang ingin membeli’ mesin itu, seolah-olah cuba memberikan justifikasi untuk hadiah tersebut.
Tentera Putin mengalami kerugian besar di Ukraine, dengan puluhan ribu askar dihantar ke medan perang.