OREGON: Sebuah pusat jualan kenderaan elektrik Tesla di pinggir bandar Portland di sini menjadi sasaran tembakan awal pagi kelmarin, menjadikannya insiden kedua dalam tempoh seminggu sejak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Elon Musk, menyertai pentadbiran Presiden Donald Trump.
Menurut Jabatan Polis Tigard, kejadian pukul 4.15 pagi waktu tempatan itu menyaksikan lebih 12 das tembakan dilepaskan ke arah pusat jualan berkenaan, menyebabkan kerosakan teruk pada kenderaan dan tingkap pameran.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.
“Kami bekerjasama rapat dengan rakan penyiasat persekutuan dari Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF) bagi menjalankan siasatan menyeluruh,” kata kenyataan polis.
Polis turut memaklumkan anjing pengesan bahan letupan ATF digunakan bagi mencari kelongsong peluru di lokasi kejadian, termasuk semasa insiden pada 6 Mac lalu di lokasi yang sama.
Tahun ini, Tesla menjadi sasaran pelbagai protes dan vandalisme di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain, susulan penubuhan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang diterajui Musk, yang berusaha mengurangkan saiz kerajaan persekutuan.
Dalam kejadian berasingan hujung minggu lalu, enam trak elektrik Tesla Cybertruck di sebuah pusat jualan di pinggir bandar Seattle, Lynnwood, disembur dengan simbol swastika dan kata-kata kesat yang ditujukan kepada Musk, lapor stesen televisyen tempatan, KING-TV.
Sementara itu, pada Ahad, empat trak Cybertruck musnah dalam kebakaran di Seattle, namun pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada kejadian itu disengajakan atau tidak.
Jabatan Polis Seattle memaklumkan mereka turut bekerjasama dengan pihak berkuasa persekutuan dalam menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.