ROATAN: Sebuah pulau kecil di Caribbean semakin mendapat perhatian golongan kaya-raya yang mahu ‘hidup selama-lamanya’ berikutan undang-undang yang longgar terhadap terapi mengubah gen asid deoksiribonukleik (DNA)
Pulau Roatan, yang terletak kira-kira 64 kilometer dari pantai utara Honduras, menjadi lokasi kepada sebuah bandar autonomi bernama Prospera yang diasaskan oleh pengurus dana kekayaan kelahiran Venezuela, Erick Brimen.
Di Prospera, kadar cukai yang dikenakan sangat rendah, mata wang kripto Bitcoin diterima sebagai medium pembayaran, dan tiada peraturan ketat terhadap amalan perubatan terkini yang belum diluluskan di negara lain.
Antara rawatan yang ditawarkan di klinik Minicircle di Prospera adalah terapi gen follistatin, iaitu rawatan kontroversi yang diharamkan di Amerika Syarikat (AS) dan belum mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).
Terapi ini berharga AS$25,000 (RM117,000) melibatkan suntikan molekul DNA yang didakwa mampu menggalakkan tubuh untuk memulihkan dirinya sendiri dengan kesan yang boleh bertahan antara satu hingga dua tahun.
Minicircle, sebuah syarikat bioteknologi yang berpangkalan di Delaware, mendakwa terapi tersebut menunjukkan ‘potensi besar’ walaupun baru menamatkan ujian klinikal Fasa I di mana kajian yang dilakukan ke atas haiwan menunjukkan terapi gen follistatin mampu memanjangkan hayat tikus sebanyak 32.5 peratus.
Bagi menangani kebimbangan mengenai risiko mutasi sel yang boleh menyebabkan kanser, Minicircle menggunakan mekanisme ‘kill switch’ di mana pesakit boleh mengambil antibiotik tetracycline untuk mematikan dan menyahaktifkan molekul DNA yang disuntik jika berlaku reaksi buruk.
Prospera dibangunkan pada tahun 2017 dan terdapat 200 syarikat berdaftar di pulau itu.