Projek ‘Zoo Najis’ boleh selamatkan spesies terancam

Projek ‘Zoo Najis’ boleh selamatkan spesies terancam

SAINTIS menggunakan najis haiwan sebagai sumber kepelbagaian genetik bagi melindungi spesies haiwan terancam. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sekumpulan penyelidik meneroka kaedah baharu dalam usaha menyelamatkan spesies haiwan terancam dengan menggunakan najis sebagai sumber kepelbagaian genetik, sekali gus membuka lembaran baharu dalam bidang pemuliharaan hidupan liar.

Dikenali sebagai ‘Zoo Najis’, projek ini berdasarkan prinsip mudah iaitu najis bukan sahaja mengandungi sisa makanan tidak hadam, bakteria dan hempedu, malah sel-sel haiwan yang tertanggal dari lapisan ususnya dan lebih menarik, kajian menunjukkan sebahagian sel ini masih hidup jika najis tersebut segar.

Menurut ketua penyelidik, Prof. Suzannah Williams dari Universiti Oxford, kajian itu masih di peringkat awal namun hasil yang diperoleh setakat ini amat menggalakkan.

“Kami bukan sahaja berjaya mengasingkan sel hidup dari najis tikus, malah dari najis gajah,” katanya.

Projek ini berpotensi meningkatkan kepelbagaian genetik spesies tertentu, sekali gus memperkukuh daya tahan haiwan terhadap ancaman kepupusan.

Pendekatan ini dikenali sebagai ‘penyelamatan genetik’ yang boleh dilaksanakan dalam beberapa cara iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) sel haiwan dalam najis boleh dianalisis bagi memahami variasi genetik sesuatu populasi dan jika sel tersebut masih hidup, DNA yang diperoleh lebih berkualiti dalam kajian lanjut.

Jika sel ini dapat dikultur dan dibiakkan, ia membuka peluang kepada penciptaan haiwan baharu menggunakan teknologi pembiakan terkini seperti klon.

Walaupun teknologi ini membawa harapan baharu, pakar pemuliharaan menegaskan pencegahan masih merupakan langkah terbaik bagi melindungi spesies haiwan.

Ketua penasihat sains hidupan liar WWF UK, Paul De Ornellas berkata usaha pemuliharaan berskala besar perlu terus dipertingkatkan bagi menangani punca utama kepupusan seperti kehilangan habitat dan eksploitasi berlebihan.

“Kita perlu menangani punca kemerosotan biodiversiti jika mahu mengatasi krisis kepupusan ini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya