MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. melantik seorang ketua menteri sementara baharu untuk mentadbir wilayah majoriti Muslim tunggal di negara itu, semasa wilayah itu bersiap untuk pilihan raya parlimen pertamanya pada Oktober ini.
Marcos telah melantik Abdulraof Macacua, gabenor Maguindanao del Norte iaitu sebuah wilayah dalam kawasan Bangsamoro bagi menggantikan Murad Ebrahim, yang telah berkhidmat sebagai ketua menteri Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao (BARMM) sejak 2019.
Perubahan kepimpinan ini disahkan oleh Timbalan Setiausaha Pejabat Komunikasi Presiden, Claire Castro, pada Ahad.
Penasihat Keamanan Presiden Carlito G. Galvez, Jr dalam kenyataan pada Isnin berkata, peralihan ini berlaku pada masa yang genting kerana wilayah Bangsamoro bersiap untuk mencapai satu pencapaian penting iaitu pilihan raya parlimen pertamanya pada Oktober tahun ini.
“Untuk kesinambungan dan kejayaan perjanjian keamanan Bangsamoro, kami meletakkan kepercayaan kepada Ketua Menteri Sementara Macacua semasa beliau mengambil alih tampuk pemerintahan,” katanya.
Pelantikan Macacua disambut baik oleh gabenor wilayah Tawi-Tawi di Bangsamoro, Yshmael “Mang” I. Sali yang berdiri teguh di belakang kepimpinan baharu dan bekerjasama mencapai matlamat Kerajaan Bangsamoro bagi manfaat semua penduduknya.
Bangsamoro, yang berada di tengah-tengah perjuangan pemisahan selama empat dekad, mencapai perjanjian gencatan senjata kekal dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada 2014.
Perjanjian ini membuka jalan ke arah keamanan dan autonomi bagi wilayah yang menempatkan populasi Muslim terbesar di negara majoriti Katolik ini.
BARMM ditubuhkan pada 2019 sebagai sebahagian daripada peralihan wilayah ini ke arah autonomi yang akan mencapai kemuncaknya pada Oktober tahun ini dengan pilihan raya untuk memilih badan perundangan dan eksekutif.
Sehingga itu, kepimpinan BARMM berada di bawah pihak berkuasa peralihan yang dilantik oleh presiden Filipina.