Potong elektrik: Israel mahu Gaza segelap-gelapnya

Potong elektrik: Israel mahu Gaza segelap-gelapnya

PENDUDUK Palestin berkumpul di tengah runtuhanbangunan untuk berbuka puasa beramai-ramai di Gaza City, pada 6 Mac lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel mengumumkan pemotongan bekalan elektrik di kemudahan terakhir di Gaza yang masih menerima kuasa daripada syarikat elektrik negara haram itu.

Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen mendakwa sudah menandatangani perintah untuk menghentikan serta-merta bekalan elektrik ke Gaza.

Beliau dalam kenyataan pada Sabtu turut menegaskan, Israel akan menggunakan segala pendekatan yang ada untuk memastikan semua tebusan di Gaza dipulangkan.

Israel memutuskan bekalan elektrik ke Gaza selepas serangan 7 Oktober 2023, namun Syarikat Elektrik Israel (IEC) menyambungkan semula kuasa ke kemudahan rawatan air selepas menerima arahan kerajaan.

Seorang jurucakap IEC mengesahkan menerima arahan memutuskan bekalan elektrik ke kemudahan tersebut.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata, tindakan itu tidak akan memberi kesan besar memandangkan penduduk Gaza sudah pun mengalami pemotongan bekalan sebelum ini.

Namun, beliau mengecam langkah itu sebagai perbuatan yang mengesahkan niat penjajah untuk meneruskan perang pembunuhan beramai-ramai terhadap Gaza, melalui dasar kebuluran, dengan mengabaikan sepenuhnya undang-undang serta norma antarabangsa.

Sejak Israel melancarkan perang di Gaza, penduduk Palestin bergantung pada generator dan tenaga solar untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Ahli politik sayap kanan Israel, Itamar Ben Gvir menyambut baik langkah terbaharu itu dan menggesa kerajaan bertindak lebih teruk dengan menyasarkan bekalan bahan api yang memasuki wilayah tersebut selepas perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tebusan.

“Gaza mesti digelapkan sepenuhnya selagi masih ada walaupun seorang tebusan Israel yang ditahan di sana.

“Israel mesti mengebom depot bahan api yang memasuki Gaza sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, serta generator yang dikendalikan oleh Hamas,” katanya.

Perkembangan itu dilakukan ketika rundingan mengenai peringkat seterusnya gencatan senjata serta perjanjian pertukaran tebusan antara Israel dan Hamas sedang berlangsung.

Minggu lalu, Israel mengumumkan sekatan kemasukan semua bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut untuk menekan Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya