AUCKLAND: Seramai 16 orang termasuk tiga kru kapal cedera apabila sebuah kapal persiaran mewah terumbang-ambing sehingga menyebabkan posisi kapal menyenget 14 darjah akibat angin kencang di perairan New Zealand.
Kejadian itu berlaku pada 25 Februari lalu ketika kapal Crown Princess milik Princess Cruises belayar di Milford Sound, berhampiran Pulau Selatan, New Zealand, lapor 9 News.
Rakaman video kejadian menunjukkan kakitangan dapur kapal bergelut untuk berdiri sambil memegang kaunter bagi mengelak terjatuh ketika peralatan dapur bertaburan di lantai manakala makanan berselerak, rak pinggan mangkuk tumbang serta pinggan pecah memenuhi lantai selepas kapal itu condong secara mendadak.
Kejadian itu turut menyebabkan sebuah kolam renang di kapal berkenaan melimpah ke dek, memaksa penumpang berlindung di dalam kabin kapal yang berusia 19 tahun itu.
Menurut laporan, 13 penumpang dan tiga kru mengalami kecederaan ringan akibat insiden tersebut.
Seorang penumpang memberitahu, beliau terpaksa berpaut ketika sedang bersenam di atas kapal.
“Saya sedang berjalan seperti biasa dan tiba-tiba kapal mula senget. Meja dan kerusi meluncur ke seberang bilik, malah seorang gadis turut terheret bersama kerusinya ke arah kolam renang,” katanya kepada 9 News.
Insiden itu turut menyebabkan kerosakan di beberapa kedai dalam kapal, termasuk kaca pecah dan beg berjenama bertaburan di lantai.
Crown Princess yang membawa 3,080 penumpang dan 1,200 kru memulakan pelayaran selama 14 hari dari Sydney dan dijangka kembali ke Australia pada 8 Mac selepas mengelilingi seluruh perairan New Zealand.