ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 200 daripada 3,000 peserta wanita yang berarak secara aman bagi memperingati Hari Wanita Sedunia, ditahan polis Turkiye.
Perhimpunan Feminist Night March bermula berhampiran Dataran Taksim, dengan ramai peserta mengenakan pakaian ungu dan membawa sepanduk tertera mesej ‘Kami tidak akan didiamkan, kami tidak takut dan tidak akan taat’ dan ‘Hidup perjuangan feminis kami’.
Walaupun perarakan berakhir tanpa sebarang kekecohan, penganjur mendakwa polis kemudian menangkap beberapa penunjuk perasaan, malah rakaman video yang dimuat naik menunjukkan pegawai menarik beberapa peserta dengan kasar.
Demonstrasi di Dataran Taksim yang terletak pusat bandar sebelum ini diharamkan, namun sejak kebelakangan ini pihak berkuasa membenarkan perhimpunan berhampiran kawasan itu dengan kehadiran keselamatan yang besar.
“Selepas #FeministNightMarch berakhir dan orang ramai beredar tanpa sebarang kekecohan, polis mula menahan rakan-rakan kami sebagai satu tindakan provokasi.
“Hampir 200 wanita ditahan secara tidak adil pada 8 Mac,” menurut penganjur menerusi hantaran di laman X. Setakat ini tiada kenyataan segera daripada pihak berkuasa.
Sebelum ini, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di Kadikoy, sambil mengibarkan sepanduk ketika berarak di jalan.
Pengerusi kesatuan sekerja DISK, Arzu Cerkezoglu berkata, tuntutan mereka adalah untuk menghentikan keganasan terhadap wanita, untuk meratifikasi Konvensyen Istanbul terhadap pembunuhan wanita dan untuk dasar sosial yang tidak meletakkan beban penjagaan kepada wanita.