JAKARTA: Lebih empat kanak-kanak disyaki menjadi mangsa penderaan seksual oleh seorang anggota polis Indonesia yang merakam perbuatan terkutuk itu sebelum menyebarkannya di laman web pornografi Australia.
Menurut Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak Indonesia, siasatan masih dijalankan terhadap Ketua Polis Daerah Ngada di wilayah Nusa Tenggara Timur, Fajar Widyadharma Lukman yang didakwa mencabul empat kanak-kanak berusia antara tiga hingga 14 tahun pada Jun lalu.
Kes ini terbongkar selepas video lucah itu dikesan polis Australia sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia melalui Kementerian Pemberdayaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak pada Januari lalu.
Fajar kemudiannya ditangkap pada 20 Februari lalu oleh Bahagian Hal Ehwal Dalam Polis Negara (Propam) dan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Negara di Jakarta sebelum secara rasmi dinamakan sebagai suspek, semalam.
Fajar didakwa mencabul kanak-kanak tersebut di sebuah hotel di Kupang, ibu kota wilayah itu, kata Pengarah Siasatan Jenayah Am Polis Nusa Tenggara Timur, Patar Silalahi.
Jurucakap Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI), Dian Sasmita menyifatkan kes ini sebagai keganasan seksual terhadap kanak-kanak yang sangat serius.
Beliau berkata, terdapat kemungkinan besar lebih banyak mangsa yang belum dikenal pasti
Media Indonesia melaporkan Fajar didakwa akan memujuk mangsa untuk berjumpa dengannya sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu.
Fajar kemudiannya akan meminta mangsa mencarikan kanak-kanak lain untuk berjumpa dengannya sambil memberikan duit sebagai upah.