PHUKET: Phuket meningkatkan pemeriksaan imigresen dan serbuan terhadap aktiviti haram susulan lonjakan kes jenayah berkaitan dadah dan warga asing yang bekerja secara haram di pulau itu.
Menurut polis pada tahun lalu, visa 194 warga asing di Phuket dibatalkan manakala 998 yang lain pula dihantar pulang kerana terlibat dalam aktiviti jenayah yang kebanyakannya berkaitan dadah dan bekerja tanpa permit sah.
Pejabat imigresen di wilayah itu kini mengadakan pertemuan dengan pegawai konsulat antarabangsa setiap dua bulan bagi memantau keadaan.
Antara pemeriksaan yang dilakukan adalah ketibaan mana-mana warga asing harus bebas daripada sebarang waran tangkap atau berada dalam senarai hitam selain ramai warga asing ditahan kerana bekerja secara haram di Phuket.
Polis Phuket juga menggalakkan orang ramai membantu pihak berkuasa memantau tanda-tanda aktiviti jenayah yang melibatkan warga asing dan melaporkan sebarang kejadian yang mencurigakan.
Pada Januari lalu, kira-kira 800,000 pelancong asing tiba di pulau tersebut dan jumlah warga asing yang tinggal dengan visa setahun dianggarkan seramai 36,000 orang dengan kebanyakannya menjalankan perniagaan, belajar atau sudah bersara.