WASHINGTON: Pesawat Boeing E-4B milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai ‘doomsday plane’ menjadi isyarat menggerunkan jika ia kelihatan di ruang udara kerana kapal terbang itu direka khusus untuk beroperasi sebelum serangan nuklear berlaku.
Pesawat itu diberi gelaran ‘doomsday’ kerana kemampuannya bertahan daripada letupan nuklear serta menjadi pusat kawalan bergerak bagi Presiden AS dan pegawai tinggi kerajaan ketika berlakunya kecemasan nasional.
Ketika ini tentera Udara AS mengoperasikan empat buah pesawat E-4B dengan sekurang-kurangnya satu daripadanya bersiap sedia sepanjang masa di Pangkalan Tentera Udara Offutt di Omaha, Nebraska.
Pesawat tersebut digunakan untuk membawa Setiausaha Pertahanan bagi lawatan luar negara dan turut ditugaskan untuk mengikuti pesawat Air Force One apabila Presiden melakukan perjalanan ke luar negara.
Pesawat yang mula beroperasi sejak era Perang Dingin itu dilengkapi dengan sistem kawalan dan komunikasi yang membolehkan pemimpin negara memberikan arahan kepada tentera dalam sebarang situasi kecemasan nasional.
Antara keistimewaan pesawat itu termasuk perlindungan terhadap letupan nuklear, serangan elektromagnetik serta serangan siber selain mampu melancarkan misil balas jika perlu.
Pesawat ini pernah beroperasi di udara selama 35.4 jam tanpa henti dan mampu terus berada di udara selama seminggu dengan bantuan pengisian bahan api di udara.
Apabila di udara, pesawat itu dikenali sebagai Pusat Operasi Udara Nasional (NAOC) dan dioperasikan oleh Skuadron Kawalan dan Perintah Udara Pertama daripada Kumpulan Kawalan dan Perintah ke-595.