LONDON: Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) England akan kehilangan separuh daripada tenaga kerjanya, termasuk sebahagian besar pasukan pengurusan kanan susulan penyusunan semula yang ketat di bawah kepimpinan baharu.
Bilangan pekerja NHS England akan berkurangan daripada 13,000 orang kepada kira-kira 6,500 bagi menjimatkan kos dan mengelakkan pertindihan dengan pegawai di Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial (DHSC).
Kakitangan NHS England berkata, mereka terkejut dan bimbang dengan skala pemotongan yang jauh melebihi pengumuman beberapa minggu lalu iaitu pengurangan 2,000 jawatan untuk menjimatkan 175 juta pound (RM1 bilion).
Pengecilan operasi DHSC akan melihat kedua-dua organisasi ini bekerjasama rapat bermula April depan, namun DHSC akan kehilangan lebih sedikit pekerja berbanding NHS England.
Perubahan ini akan memberikan Setiausaha Kesihatan, Wes Streeting, lebih banyak kawalan terhadap organisasi yang bertanggungjawab terhadap prestasi operasi perkhidmatan kesihatan di England.
“Perubahan ini mewakili penyusunan semula terbesar dalam struktur nasional NHS dalam lebih daripada satu dekad,” kata Ketua Eksekutif NHS Confederation, yang mewakili NHS di England, Matthew Taylor.
Ketua Eksekutif NHS England, Amanda Pritchard yang bakal meletakkan jawatan memaklumkan berita ini kepada kakitangan melalui e-mel yang menjelaskan bahawa Streeting telah mencetuskan pengurangan besar-besaran ini.
Katanya, Streeting telah meminta Jim Mackey, pengganti Pritchard, dan Dr Penny Dash, pengerusi baharu NHS England, untuk memimpin reformasi radikal terhadap saiz dan fungsi pusat (ibu pejabat NHS England dan DHSC di London).
“Ini akan membawa perubahan signifikan dalam hubungan NHS England dengan DHSC untuk menghapuskan pertindihan,” katanya yang mengumumkan peletakan jawatannya akhir bulan ini, dua minggu lalu.
Pasukan peralihan yang terdiri daripada pegawai DHSC dan NHS England akan mengawasi proses pengurangan saiz kedua-dua organisasi ini yang akan melaporkan kepada bekas Setiausaha Kesihatan Buruh Dash dan Alan Milburn yang dilantik Streeting sebagai pengarah bukan eksekutif utama DHSC.
Beliau menambah bahawa berita ini akan “sangat mengganggu” dan menyebabkan “ketidakpastian serta kebimbangan” dalam kalangan kakitangan.