TEHERAN: Penyanyi terkenal Iran, Mehdi Yarrahi, yang mencetuskan kontroversi menerusi lagu menggalakkan wanita menanggalkan hijab, menjalani hukuman sebat sebanyak 74 kali, kata peguamnya, semalam.
Peguamnya, Zahra Minoui memaklumkan menerusi hantaran di platform X mengenai hukuman tersebut sudah dilaksanakan sepenuhnya.
Yarrahi, 42, sebelum ini ditahan pada Ogos 2023 dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun lapan bulan oleh Mahkamah Revolusi Teheran, selain denda dan hukuman sebat.
Namun, dia hanya menjalani hukuman penjara selama setahun sebelum dibebaskan.
Menurut agensi berita rasmi Iran (IRNA), Yarrahi didakwa kerana “mengeluarkan lagu haram yang bertentangan dengan akhlak dan adat masyarakat Islam”.
Sebulan selepas penahanan Yarrahi, Iran menyaksikan gelombang protes besar-besaran memperingati ulang tahun kematian Mahsa Amini, 22, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis moral Iran kerana didakwa tidak memakai hijab dengan betul.
Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia mengecam undang-undang pemakaian hijab yang disifatkan sebagai kejam.
Pada Disember lalu, Amnesty International mendedahkan pihak berkuasa Iran mengenakan undang-undang baru yang lebih tegas, termasuk ancaman hukuman mati, sebatan, penjara, dan hukuman berat lain terhadap mereka yang menentang pemakaian hijab secara wajib.
Yarrahi bukan satu-satunya artis yang dikenakan hukuman berat di Iran kerana pada Mei tahun lalu, pengarah filem terkenal, Mohammad Rasoulof dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sebatan bagi tuduhan berkaitan keselamatan negara.
Pada 2015, dua penyair Iran turut dikenakan hukuman 99 sebatan setiap seorang kerana berjabat tangan dengan individu berlainan jantina, selain dijatuhi hukuman penjara kerana didakwa “menghina kesucian” menerusi karya mereka, keputusan yang dikecam aktivis kebebasan bersuara.