Penjenayah guna ular sawa rompak minyak di Tennessee - Utusan Malaysia

Penjenayah guna ular sawa rompak minyak di Tennessee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENNESSEE: Sekumpulan individu bertindak di luar jangkaan apabila menggunakan ular sawa untuk mencuri minyak ganja (CBD) dalam satu kejadian di sebuah stesen minyak di Tennessee, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Rakaman kamera keselamatan yang tular dalam media sosial menunjukkan suspek menghayun ular sawa di dalam premis Citgo Truck Stop di Lebuhraya 138, Denmark, kira-kira 120 kilometer dari Memphis.

Menurut Ibu pejabat Sheriff Madison County, kejadian yang berlaku pada 4 Mac itu melibatkan dua lelaki dan dua wanita yang membawa dua ekor ular sawa sebelum melarikan minyak CBD bernilai AS$400 (RM1,880), lapor WREG.

Rakaman video menunjukkan seorang daripada suspek meletakkan seekor ular di atas kaunter, manakala seorang lagi memegang seekor ular yang masih meliang-liuk.

Menurut pekerja kedai, Mayur Raval, dia dan abangnya berada di dalam premis ketika kejadian berlaku.

“Mereka masuk sambil melibas ular dan meletakkannya di atas kaunter. Pada mulanya seorang daripada mereka membawa seekor ular, kemudian masuk semula dengan seekor lagi. Seekor berwarna putih, manakala yang lain berwarna coklat bercampur,” katanya.

Raval berkata, kumpulan itu mengambil minyak CBD dari kaunter tetapi tidak sempat mencuri lebih banyak barangan kerana terdapat ramai pelanggan lain di dalam kedai ketika itu.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan, kumpulan suspek dilihat menaiki sebuah kereta sedan empat pintu dengan tali bungee di bahagian but, berdasarkan imej rakaman kamera keselamatan.

Meskipun ular bukanlah senjata yang lazim digunakan dalam jenayah, namun undang-undang Tennessee membolehkan seseorang dikenakan tuduhan rompakan jika menggunakan objek yang boleh menyebabkan mangsa mempercayai ia sebagai senjata berbahaya.

Insiden jenayah menggunakan ular bukan kali pertama berlaku di Tennessee kerana sebelum ini pada April tahun lalu, seorang lelaki dikenali sebagai Reginald Cook, ketika itu berusia 26 tahun, memasuki sebuah stesen minyak di Memphis dengan seekor ular sepanjang lima kaki melilit lehernya sambil menuntut wang walaubagaimanapun, cubaan tersebut gagal selepas juruwang terbabit mengeluarkan senjata api.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya