BEIJING: Seorang pengurus sumber manusia di China mencipta 22 pekerja palsu untuk menggelapkan wang syarikat berjumlah 16 juta yuan (RM9.8juta) dalam bentuk gaji dan bayaran persaraan.
Menurut laporan Ningbo Evening News, pengurus itu yang dikenali sebagai Yang bekerja di sebuah syarikat perkhidmatan buruh di Shanghai dan bertanggungjawab mengurus gaji pekerja yang dihantar ke sebuah syarikat teknologi.
Yang mendapati dia berkuasa penuh bagi penempatan pekerja selain syarikat perkhidmatan buruh tersebut tidak mempunyai proses semakan untuk pembayaran gaji.
Dia kemudiannya mencipta rekod pekerjaan untuk seorang pekerja dan memohon bayaran gaji atas nama itu sebelum memindahkan gaji tersebut ke kad bank di bawah kawalannya.
Sejak 2014, dia mewujudkan rekod untuk 22 pekerja palsu dan mengumpul gaji serta bayaran pesara berjumlah 16 juta yuan (RM9.8juta).
Pada 2022, jabatan kewangan syarikat teknologi itu menyedari bahawa seorang daripada pekerja palsu itu mempunyai rekod kehadiran yang sempurna dan menerima gaji tepat pada masanya, tetapi tiada siapa yang pernah melihatnya di pejabat.
Perkara itu kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa sebelum siasatan terhadap rekod kehadiran dan transaksi bank mendedahkan penipuan ‘pekerja hantu’ Yang selama lapan tahun.
Yang akhirnya dihukum penjara selama 10 tahun kerana kesalahan penyalahgunaan wang, dilucutkan hak politik selama setahun, dan didenda. Dia juga diperintahkan untuk mengembalikan 1.1 juta yuan (RM675,326) daripada wang yang dicuri manakala keluarganya mengembalikan tambahan 1.2 juta yuan (RM736,666).
Kes yang dilaporkan oleh media tempatan pada Mac itu menarik perhatian ramai pihak dalam media sosial.