Penghadang lebuh raya UK 'tidak tahan' tampung berat kenderaan elektrik - Utusan Malaysia

Penghadang lebuh raya UK ‘tidak tahan’ tampung berat kenderaan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pakar keselamatan jalan raya memberi amaran peningkatan penggunaan kereta elektrik berat boleh menjadikan lebuh raya di United Kingdom (UK) sebagai ‘perangkap maut’ berikutan sistem penghadang jalan yang sudah lapuk dan tidak mampu menampung impak kemalangan kenderaan moden.

Menurut Persatuan Pengeluar Penghadang Kenderaan (VRMA), pagar besi yang dipasang di sepanjang jalan dan jambatan di UK masih berasaskan piawaian 1998, yang hanya mampu menyerap hentaman kereta petrol dan diesel seberat 1.5 tan.

Sebaliknya, kereta elektrik moden boleh mencapai berat hampir dua kali ganda disebabkan baterinya yang besar, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan sistem penghadang sedia ada.

Dalam satu surat kepada kerajaan, VRMA memberi peringatan keras sekiranya gagal menangani isu ini boleh mengakibatkan kemalangan maut yang boleh dielakkan, kecederaan lebih parah, serta liabiliti undang-undang terhadap pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

Pada tahun 2023, National Highways telah memperuntukkan 30,000 pound (RM180,000) bagi menjalankan kajian risiko berkaitan, namun hasil kajian itu masih belum diumumkan sehingga kini.

Keadaan ini mendorong VRMA menegaskan sebarang kelewatan dalam menangani isu tersebut boleh mendedahkan rangkaian jalan raya UK kepada kegagalan keselamatan.

Sebelum ini, Kajian oleh Universiti Nebraska menunjukkan kenderaan elektrik, yang boleh menjadi 50 peratus lebih berat berbanding kenderaan petrol, mampu merempuh penghadang jalan di Amerika Syarikat.

Jurucakap Jabatan Pengangkutan UK menegaskan standard keselamatan penghadang jalan sentiasa dikaji semula, dengan lebih 900 batu penghadang telah dipasang atau diperbaharui di lebuh raya utama antara tahun 2020 hingga 2024.

Namun begitu, jumlah kenderaan elektrik di jalan raya terus meningkat di mana pada bulan lalu sahaja, satu perempat daripada jumlah pendaftaran kereta baharu di UK terdiri daripada kenderaan elektrik.

Di bawah mandat Zero Emission Vehicle, semua pengeluar kenderaan diwajibkan meningkatkan jualan kereta elektrik mereka kepada 28 peratus menjelang 2025, yang bermakna lebih banyak kenderaan berat akan memenuhi jalan raya negara itu dalam tempoh terdekat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya