HELSINKI: Kajian terbaharu mendapati jumlah penduduk dunia mungkin jauh lebih besar daripada yang dianggarkan sebelum ini berikutan kesilapan besar dalam pengiraan, khususnya di kawasan luar bandar.
Penyelidik dari Universiti Aalto, Finland, mendapati kaedah grid yang digunakan secara meluas bagi menganggarkan jumlah penduduk telah menyebabkan kesilapan besar di kawasan luar bandar berbanding di bandar yang mempunyai lebih padat penduduk.
Sistem grid ini membahagikan dunia kepada petak dan menganggarkan kepadatan penduduk berdasarkan data bancian tempatan namun, kerana kaedah ini lebih banyak dikalibrasi di kawasan bandar, ia berkemungkinan menghasilkan anggaran yang tidak tepat di kawasan luar bandar.
Data semasa menunjukkan penduduk luar bandar merangkumi kira-kira 43 peratus daripada jumlah penduduk dunia, yang dianggarkan lebih lapan bilion orang namun, menurut kajian ini, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi, melibatkan ratusan juta atau bahkan berbilion penduduk luar bandar yang tidak termasuk dalam pengiraan.
“Buat pertama kali, kajian kami membuktikan bahawa sebahagian besar penduduk luar bandar mungkin tidak direkodkan dalam set data populasi global,” kata jurutera alam sekitar, Josias Láng-Ritter dari Universiti Aalto.
Penemuan ini amat mengejutkan apabila penduduk luar bandar didapati telah direkodkan lebih rendah antara 53 hingga 84 peratus sepanjang tempoh yang dikaji dan angka tersebut diperoleh menerusi analisis data penduduk dari tahun 1975 hingga 2010, dengan menumpukan kepada pemindahan besar-besaran akibat pembinaan empangan.
Kajian terhadap lebih 300 projek empangan di 35 negara menunjukkan jumlah pemindahan penduduk adalah jauh lebih tinggi berbanding angka populasi rasmi kawasan terbabit.
Menurut penyelidik, perbezaan besar berpunca daripada kekurangan data terperinci di kawasan luar bandar yang mana rekod bancian, data kesihatan dan maklumat infrastruktur di kawasan ini jauh lebih terhad berbanding bandar, menjadikan anggaran populasi kurang tepat.
“Keputusan ini amat signifikan kerana set data ini telah digunakan dalam ribuan kajian dan dijadikan rujukan dalam membuat keputusan penting, tetapi ketepatannya tidak pernah dinilai secara sistematik,” kata Láng-Ritter.
Bagaimanapun, tidak semua pakar bersetuju dengan dapatan kajian ini kerana sesetengah saintis berpendapat kemajuan teknologi satelit dan kaedah pengumpulan data dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah mengurangkan kesilapan pengiraan secara ketara.