LONDON: Sejumlah kanak-kanak dan orang dewasa yang pernah menjadi mangsa penderaan serta gangguan seksual di 1,664 sekolah rendah di seluruh United Kingdom (UK) tampil menceritakan pengalaman pahit mereka menerusi satu laman web.
Menerusi laman web everyoneinvited.uk, mangsa menceritakan bagaimana mereka melalui pengalaman pahit seperti sentuhan tidak senonoh, malah ada yang dirogol dengan mangsa paling muda dilaporkan berusia lima tahun.
Seorang mangsa berusia 12 tahun menulis ‘ketika kejadian, saya berusia 10 tahun dan dalam perjalanan ke sekolah sebelum sebuah kereta berhenti dan tiga remaja lelaki menyuruh saya masuk ke dalam kereta.
“Saya tidak bodoh untuk terus mengikut arahan mereka, namun seorang daripada mereka keluar dan menarik tangan saya masuk ke kereta. Saya dirogol oleh dua daripada pelaku dengan seorang lagi merakam apa yang berlaku.
“Selepas kejadian itu, saya menjadi seorang yang pasif, di sekolah saya hanya mendiamkan diri. Sekarang, saya sudah berusia 12 tahun dan saya adalah seorang daripada mangsa yang terselamat,” tulisnya.
Laman web tersebut menyatakan sekolah yang disenaraikan melibatkan gangguan seksual yang pernah dilaporkan, sama ada sebelum atau baru-baru ini.
Jurucakap laman web tersebut, Sophie Lennox berkata, sebahagian besar testimoni datang daripada mangsa yang berani menceritakan semula pengalaman pahit mereka.
Sehubungan itu, laman web berkenaan mencadangkan supaya pendidikan hubungan dan seks diajar sebelum kanak-kanak mencapai usia sembilan tahun.
“Di Everyone’s Invited, kami tidak mencadangkan usia khusus untuk guru mengajar kandungan tertentu sebaliknya kami bekerjasama dengan sekolah bagi menentukan masa yang sesuai dari segi perkembangan untuk mengajar pendidikan hubungan dan seks,” katanya.