NEW DELHI: India, negara yang mempunyai populasi mencecah 1.4 bilion orang, berdepan cabaran besar apabila hampir satu bilion penduduknya tidak memiliki pendapatan mencukupi untuk berbelanja barangan atau perkhidmatan bukan keperluan, menurut laporan firma modal teroka Blume Ventures yang diterbitkan bulan lalu.
Laporan tersebut mendedahkan hanya 140 juta penduduk atau 10 peratus daripada keseluruhan populasi India tergolong dalam “kelas pengguna” yang mempunyai pendapatan boleh guna mencukupi untuk perbelanjaan berlebihan.
Walaupun kekayaan di ekonomi utama yang berkembang paling pesat di dunia itu meningkat secara purata tujuh peratus setahun antara 2010 hingga 2023, laporan tersebut menyatakan sebahagian besar kekayaan tersebut hanya tertumpu di kalangan golongan kaya.
Petunjuk seperti perbelanjaan untuk penerbangan domestik dan kenderaan menunjukkan pertumbuhan mendatar, mencerminkan kelembapan dalam pasaran pengguna massa.
Pemerhati berpendapat inflasi, pertumbuhan gaji yang tidak memberangsangkan dan kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi punca utama, selain pengagihan kekayaan yang tidak seimbang.
Namun begitu, sesetengah penganalisis optimis keadaan ini mungkin berubah dalam dekad akan datang, dengan lebih ramai penduduk dijangka menyertai kumpulan pengguna di India.
“Jika kita lihat kepada perbelanjaan berlebihan di India, sudah tentu ia masih rendah kerana pendapatan per kapita di India masih belum mencapai tahap yang tinggi,” kata Naveen Kulkarni, Ketua Pegawai Pelaburan di Axis Securities.
“Tetapi kerajaan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pengeluaran yang akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan, struktur cukai yang lebih baik, serta pemindahan manfaat secara langsung yang akan membantu pengagihan kekayaan,” tambahnya.
Berdasarkan unjuran rasmi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) India dijangka berkembang sebanyak 6.5 peratus bagi tahun kewangan semasa dan sebagai langkah menggalakkan pertumbuhan ekonomi, kerajaan telah memperkenalkan insentif cukai untuk golongan kelas pertengahan dalam Belanjawan Persekutuan bernilai AS$11.5 bilion (RM54.4 bilion) yang diumumkan pada Februari lalu.
Menteri Kewangan India, Nirmala Sitharaman berkata, individu yang berpendapatan tahunan sehingga 1.2 juta rupee (RM65,000) akan dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan bermula April, berbanding had sebelumnya sebanyak 700,000 rupee (RM37,900).
Menurut Bloomberg, insentif cukai tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 10 juta individu di ekonomi ketiga terbesar di Asia itu. –AGENSI