Pendaki Gunung Fuji bakal dikenakan bayaran masuk RM127 - Utusan Malaysia

Pendaki Gunung Fuji bakal dikenakan bayaran masuk RM127

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Mulai musim panas ini, pendaki yang ingin melalui mana-mana empat laluan utama Gunung Fuji akan dikenakan bayaran masuk sebanyak 4,000 yen (RM127) selepas pihak berkuasa tempatan meluluskan rang undang-undang tersebut, semalam.

Peningkatan rekod jumlah pelancong asing ke Jepun menimbulkan kebimbangan tentang kesesakan di gunung tertinggi negara itu, yang dahulunya merupakan tempat pelancongan yang tenang.

Tahun lalu, wilayah Yamanashi yang menjadi lokasi Gunung Fuji memperkenalkan bayaran masuk sebanyak 2,000 yen (RM63) serta sumbangan sukarela untuk laluan pendakian paling popular, iaitu Laluan Yoshida.

Had harian untuk pendaki dan tempahan dalam talian turut diperkenalkan bagi laluan tersebut berikutan kebimbangan tentang keselamatan dan kerosakan alam sekitar di lereng gunung yang megah itu.

Bayaran untuk laluan Yoshida akan digandakan kepada 4,000 yen untuk musim pendakian Julai hingga September tahun ini.

Sementara itu, wilayah jiran, Shizuoka turut meluluskan rang undang-undang mengenakan bayaran 4,000 yen bagi tiga laluan pendakiannya, yang sebelum ini percuma.

Menurut data Kementerian Alam Sekitar, dengan sekatan baharu ini jumlah pendaki Gunung Fuji menurun kepada 204,316 orang tahun lalu, berbanding 221,322 orang pada 2023.

Pegawai wilayah Shizuoka, Natsuko Sodeyama berkata kepada AFP, walaupun jumlah pendaki masih belum mencapai tahap sebelum pandemik, 200,000 pendaki masih terlalu ramai.

“Tiada gunung lain di Jepun yang menarik begitu ramai orang dalam tempoh lebih dua bulan. Jadi, beberapa sekatan diperlukan untuk memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Gunung Fuji diliputi salji sepanjang tahun, tetapi semasa musim pendakian pada musim panas, ramai yang mendaki lereng curam dan berbatu pada waktu malam untuk menyaksikan matahari terbit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya