LONDON: Seorang lelaki yang mencuri coklat bernilai lebih 5,000 pund (RM30,000) dari pasar raya di seluruh Britain dihukum penjara selama 10 minggu.
Ionit Rova, 20, melakukan siri rompakan berasaskan coklat di sembilan cawangan Tesco dan sebuah cawangan Aldi di pelbagai daerah negara tersebut.
Mahkamah Majistret Reading pada 17 Februari lalu memerintahkan Rova, yang berasal dari Harrow di barat London, menjalani hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan.
Menurut majistret, Rova sepatutnya dipenjara selama 45 minggu namun hukuman dikurangkan kerana dia mengaku bersalah bagi jenayah tersebut.
Mahkamah diberitahu, Rova memulakan kegiatan jenayahnya pada 20 Ogos tahun lalu dengan mencuri barangan bernilai 800 pound (RM4,740) dari cawangan Tesco di Daventry, Northamptonshire.
Sebulan kemudian, dia mencuri barangan bernilai 800 pound dari Tesco di Amersham, Buckinghamshire dan tiga hari selepas itu, dia mengambil coklat bernilai 600 pound (RM3,560) dari Tesco di Princes Risborough di daerah yang sama.
Pada 15 Oktober, Rova mencuri manisan bernilai 500 pound (RM2,960) dari Tesco di Faringdon, Oxfordshire dan pada malam Halloween, dia sekali lagi melakukan jenayah dengan mencuri coklat bernilai 400 pound (RM2,370) dari Tesco di Warfield, Berkshire.
Kegiatan jenayahnya berterusan pada 13 November apabila dia mencuri barangan bernilai £600 dari Tesco di Swaffham, Norfolk, sebelum mengambil barangan bernilai 300 pound (RM1,780) dari Tesco di Dereham, Norfolk pada hari yang sama.
Rova meneruskan kegiatan mencuri pada 25 November dengan mengambil barangan bernilai £502.50 (RM2,970) dari Tesco di Leatherhead, Surrey sebelum mencuri barangan bernilai 672 pound (RM3,980) dari Tesco di Oakham, Rutland pada 2 Disember lalu.
Jenayah terakhirnya berlaku pada 18 Januari lalu apabila dia mencuri coklat bernilai 238.14 pound (RM1,410) dari cawangan Aldi di Wokingham, Berkshire.