Pencemaran udara faktor peningkatan penyakit Parkinson

Pencemaran udara faktor peningkatan penyakit Parkinson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pencemaran udara berkemungkinan menjadi punca kepada penyakit Parkinson, menurut satu kajian terbaharu.

Penyelidikan mendapati individu yang tinggal di bandar-bandar yang mempunyai tahap pencemaran tinggi berdepan risiko lebih besar untuk menghidap penyakit itu, yang sehingga kini masih tiada penawarnya.

Lebih membimbangkan, mereka yang mempunyai kecenderungan genetik terhadap Parkinson serta menetap di kawasan berpolusi tinggi didapati tiga kali ganda lebih cenderung untuk didiagnosis dengan gangguan otak tersebut.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh saintis dari Amerika Syarikat (AS), lebih 3,000 orang dewasa dipantau melalui dua eksperimen di mana para penyelidik menilai tahap purata karbon monoksida (CO) yang dikeluarkan terus daripada enjin kenderaan berhampiran kediaman peserta.

Bahan pencemar lain seperti hidrokarbon tidak terbakar (HC), oksida nitrogen (NOx), dan zarah halus (PM) turut diambil kira serta bagi mengelakkan keputusan yang terjejas oleh faktor luar, penyelidik turut menilai aspek seperti alahan makanan dan status merokok.

Dalam kajian pertama, penyelidik dari Universiti California, Los Angeles memantau lebih 1,300 individu yang telah menetap di California sekurang-kurangnya lima tahun dan hasilnya, mereka mendapati pencemaran udara akibat trafik meningkatkan risiko Parkinson sebanyak 28 peratus.

Kajian kedua pula melibatkan lebih 2,000 individu di Denmark, dengan lebih separuh daripada mereka menetap di Copenhagen atau bandar-bandar lain dan hasilnya menunjukkan pencemaran udara akibat trafik juga mampu meningkatkan risiko Parkinson kepada tiga kali ganda.

Secara keseluruhan, gabungan hasil kedua-dua kajian mendapati mereka yang tinggal di kawasan dengan tahap pencemaran trafik yang tinggi mempunyai risiko sembilan peratus lebih tinggi untuk menghidap penyakit tersebut.

Dalam laporan yang diterbitkan dalam JAMA Network Open, para penyelidik menegaskan individu yang memiliki kecenderungan genetik terhadap Parkinson serta terdedah kepada pencemaran udara trafik yang tinggi mengalami peningkatan risiko sehingga tiga kali ganda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya