BANGKOK: Krisis pencemaran udara di Thailand semakin meruncing apabila mencapai paras purata partikel udara (PM2.5) melebihi tahap keselamatan yang ditetapkan di 28 wilayah terutama di utara dan timur laut, menurut Pusat Pengurangan Pencemaran Udara (CAPM).
PM2.5 merujuk kepada zarah halus dengan diameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil, yang cukup halus untuk menembusi jauh ke dalam paru-paru dan aliran darah, meningkatkan risiko penyakit pernafasan dan kardiovaskular.
Sumber utama pencemaran berbahaya ini termasuk pelepasan trafik, aktiviti industri, kebakaran hutan, dan pembakaran sisa pertanian yang meluas.
Antara wilayah yang paling terjejas adalah Chiang Rai, Chiang Mai, Nan, Mae Hong Son, Phayao, Lamphun, dan Lampang, di mana tahap PM2.5 telah melonjak melebihi ambang keselamatan nasional iaitu 37.5 mikrogram setiap meter padu udara (µg/m³).
Beberapa kawasan di utara mencatatkan tahap yang sangat tinggi, dengan bacaan mencecah 83.8 µg/m³.
Di timur laut, angka yang membimbangkan dengan tahap PM2.5 antara 22.8 hingga 78.8 µg/m³ turut dilaporkan mempengaruhi wilayah seperti Udon Thani, Nong Khai, Khon Kaen, dan Sakon Nakhon.
Sementara itu, kualiti udara di wilayah tengah, timur, dan selatan Thailand masih berada dalam had yang boleh diterima.
Kawasan Metropolitan Bangkok melaporkan pencemaran sederhana, dengan tahap PM2.5 antara 9.1 hingga 26.1 µg/m³, lapor The Nation.
Susulan itu, perkuasa kesihatan telah mengeluarkan amaran segera kepada penduduk di kawasan yang terjejas dan mereka yang terdedah dinasihatkan untuk memakai pelitup muka, mengurangkan aktiviti luar, dan bekerja dari rumah jika boleh.
Orang ramai yang mengalami simptom seperti batuk, iritasi mata, atau kesukaran bernafas diminta untuk segera mendapatkan rawatan perubatan.