SNOWDONIA: Seorang pempengaruh pelancongan terkenal maut selepas terjatuh ketika melakukan ekspedisi pendakian di rabung utara Gunung Tryfan di Taman Negara Eryri, Wales, pada minggu lalu.
Mangsa, Maria Eftimova, 28, yang merupakan pelajar jurusan kejuruteraan awam di Universiti Salford, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh setinggi 20 meter ketika mendaki bersama rakannya, Anna dan bapa Anna, lapor BBC.
Menurut laporan, seorang anggota pasukan yang berada berhampiran segera memberikan bantuan pernafasan (CPR) sejurus kejadian, namun usaha menyelamatkan mangsa gagal.
Eftimova menjadi individu kedua yang maut di taman negara tersebut dalam tempoh 10 hari di mana sebelum ini Gunung Tryfan yang berketinggian 918 meter itu digelar sebagai satu daripada “gunung paling berbahaya” di United Kingdom dan dunia.
Rakan mangsa, Megan Griffiths, menyifatkan mendiang sebagai seorang yang penuh semangat dan mencintai kehidupan.
“Maria adalah seorang insan luar biasa yang hidup dengan penuh semangat bukan sahaja berjiwa bebas dan gemar mengembara, malah sangat baik hati, bijak, dan tidak mementingkan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi rakan mangsa, Victoria Critchley, turut melancarkan tabung kutipan dana bagi membantu membawa pulang jenazah Eftimova ke Bulgaria dan sehingga setakat ini, kutipan tersebut telah melebihi AS$24,000 (RM113,000).
“Maria seorang yang bercita-cita tinggi dan disayangi ramai. Personalitinya yang ceria dan energik memberikan inspirasi kepada semua di sekelilingnya,” tulis Critchley dalam laman kutipan dana tersebut.
Tambahnya, mendiang amat meminati sukan lasak, terutama luncur salji, dan sedang menantikan perjalanan ke Austria bagi meneruskan minat tersebut.
Menurut Critchley, keluarga Eftimova yang menetap di Bulgaria kini berdepan kesulitan membawa pulang jenazah ke tanah air dan dana tersebut dilancarkan bagi memastikan mendiang menerima penghormatan terakhir yang layak bersama orang tersayang.