TEBING BARAT: Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Palestin, Francesca Albanese mendedahkan kempen pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin kini berlaku di Tebing Barat apabila rejim pendudukan Israel mengusir 40,000 rakyat Palestin dari wilayah tersebut dalam tempoh hanya sebulan.
“Ini sepatutnya menjadi tajuk utama dalam akhbar namun ia tidak dilaporkan sekali gus mencerminkan sikap berat sebelah dan perkauman.
“Ini perlu disiasat, kerana ia telah membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk genosid dilaksanakan,” katanya.
Kata beliau, pengusiran secara paksa oleh Israel sudah menjadi perkara biasa di Palestin yang diduduki sejak Nakba.
Katanya, ratusan ribu rakyat Palestin telah diusir antaranya 350,000 orang pada 1967 dan Israel memusnahkan semua yang ditinggalkan sekaligus menghalang mereka daripada kembali.
Dalam temu bual bersama Al Jazeera pada Ahad lalu, wakil PBB itu menggambarkan apa yang sedang berlaku di Tebing Barat dan sikap negara-negara Arab sebagai mengejutkan.
Beliau juga menyuarakan kehairanannya terhadap dakwaan bahawa negara-negara Arab mempunyai kemampuan terhad untuk melakukan apa-apa sedangkan situasi semasa memberikan peluang penting untuk menyatukan suara Arab dalam mempertahankan rakyat Palestin bukan sekadar bercakap tentang membina semula Gaza, sedangkan genosid masih berterusan.
Albanese menekankan, apa yang dilakukan Israel di Tebing Barat adalah memalukan dan haram, tetapi tidak mengejutkan kerana keganasan genosid telah berlaku sejak sebelum 7 Oktober 2023.
“Negara-negara Arab dan komuniti antarabangsa tidak melakukan apa-apa. Berapa banyak amaran yang perlu diterima oleh komuniti antarabangsa?” soalnya.
Wakil PBB itu turut mengutuk sekatan yang dikenakan oleh Israel semasa Ramadan, dengan menekankan tiada justifikasi untuk melarang rakyat Palestin di bawah umur 55 tahun daripada menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.
Albanese turut menyatakan negara-negara seperti Afrika Selatan, Sepanyol dan Namibia sudah mengambil langkah tindak balas terhadap Israel, manakala negara-negara Arab hanya cuma menghalang rancangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump merampas Gaza.