LOS ANGELES: Puluhan pelakon kerdil Hollywood bakal mengadakan demonstrasi besar-besaran di hadapan Studio Disney minggu ini bagi membantah pengguguran watak tujuh orang kerdil dalam filem terbaharu Snow White.
Filem tersebut yang menelan kos sebanyak AS$270 juta (RM 1 bilion) bakal dijadualkan tayangannya pada Jumaat ini, menggantikan watak tujuh orang kerdil dengan watak animasi berteknologi komputer (CGI), sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan komuniti pelakon kerdil.
Menurut pelakon Ali Chapman, 50, yang berketinggian 3 kaki 8 inci, Disney mengecewakan ramai pelakon bertubuh kerdil yang selama ini mengharapkan peluang untuk bersinar dalam industri.
“Judul filem ini sendiri menyebut Snow White and the Seven Dwarfs, mengenai tujuh orang kerdil adalah bintang sebenar filem asal 1937 yang menjadi klasik sepanjang zaman.
“Tetapi Disney menggantikan kami dengan CGI, ini satu penghinaan! Ramai pelakon kerdil sangat marah dan akan turun menyuarakan bantahan mereka,” katanya sambil menambah para pelakon terbang dari serata dunia untuk menyertai protes itu.
Pengusaha hiburan Jeff Beacher, yang terkenal dalam memperjuangkan pelakon kerdil di Hollywood, menyifatkan isu ini sebagai “hidup dan mati” bagi komuniti mereka.
Menurutnya, ini bukan kali pertama Hollywood menafikan peluang kepada pelakon kerdil.
Sebelum ini, filem Wonka yang dikeluarkan pada tahun 2023, di mana Hugh Grant, yang berketinggian 5 kaki 11 inci, digunakan sebagai watak Oompa Loompa secara digital dan ‘dibiakkan’ beratus-ratus kali untuk menggambarkan sekumpulan watak tersebut dalam filem itu.
“Kononnya Hollywood memperjuangkan keterangkuman dan kepelbagaian, tetapi mereka langsung tidak memberi ruang kepada pelakon kerdil. Ini adalah peluang terbaik untuk menampilkan tujuh pelakon kerdil berbakat, tetapi Hollywood yang ‘woke’ sudah gagal sepenuhnya,” katanya lagi.
Seorang pegawai kanan Disney yang enggan dikenali mengakui protes ini boleh menjadi ‘paku terakhir dalam keranda’ bagi filem Snow White yang telah pun menerima pelbagai kecaman. -AGENSI