MANILA: Bagi mengukuhkan ikatan dalam komuniti minoriti Muslim di Filipina, sekumpulan pelajar menganjurkan iftar di pelbagai universiti di Manila sepanjang Ramadan untuk mempromosikan hubungan bermakna dalam masyarakat.
Di Filipina yang majoriti penduduknya beragama Katolik, Muslim membentuk kira-kira 10 peratus daripada 120 juta penduduk negara ini. Kebanyakan mereka menetap di pulau Mindanao dan kepulauan Sulu di selatan negara, serta di Manila.
Bermula 2 Mac lalu, pelajar Muslim Filipina yang membentuk Persatuan Pelajar bagi Hal Ehwal Islam (SAIA), menjalankan inisiatif ‘University Tour Iftar’ untuk menyatukan belia Muslim di Manila dan membina hubungan yang lebih erat dengan belia bukan Islam.
“Ini adalah tempat di mana pelajar Muslim di sekitar Metro Manila berkumpul dan berbuka puasa bersama, sambil berkenalan dan mengukuhkan ikatan antara satu sama lain,” kata Presiden SAIA, Alinaid Angcob II kepada Arab News.
SAIA ditubuhkan pada 2009 oleh pelajar Muslim dan profesional muda dari universiti-universiti di Manila dengan misi menyatukan belia dalam komuniti mereka dan memberi inspirasi kepada mereka untuk cemerlang dalam kerjaya.
Sejak dilancarkan pertama kali pada Ramadan 2023, acara iftar SAIA dihadiri antara 30 hingga 50 orang. Tahun ini, iftar telah diadakan di pelbagai universiti di Manila, termasuk Universiti Makati, Universiti Politeknik Filipina, dan Universiti Normal Filipina.
“Satu daripada misi terbesar organisasi kami adalah untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan di kalangan pelajar dan profesional Muslim di Metro Manila. Jadi, kami fikir salah satu cara untuk mencapai perpaduan dan persaudaraan itu adalah melalui salo-salo (hidangan bersama),” kata Naib Presiden Luar SAIA, Jaffar Malic kepada Arab News.
Kumpulan ini juga menambah hidangan khas daerah seperti mi beras gaya Maranao supaya bukan Muslim dapat mempelajari pelbagai makanan, adat, dan tradisi dalam komuniti Muslim Filipina.
“Banyak perniagaan terutamanya di Metro Manila yang dimiliki oleh Muslim bersedia menyokong usaha kami kerana mereka dapat lihat hasrat kami dalam membantu dan menyatukan pelajar Muslim di sini. Beberapa raka saya yang bukan Muslim turut memberikan sumbangan.
“Walaupun makanan yang disediakan sederhana, perkongsian ini memberi impak yang besar. Ia mewujudkan peluang untuk berdialog dan memberi bukan Muslim pengalaman menjadi sebahagian daripada komuniti kami,” katanya.