LONDON: Seorang pelajar dari China didapati bersalah oleh mahkamah di London pada Rabu bagi kesalahan merogol dan memperdaya 10 wanita di Britain serta China.
Pihak penyiasat Britain turut mengesyaki bahawa seramai 50 wanita lain mungkin turut menjadi mangsa serangan suspek.
Zhenhao Zou, 28, dihadapkan ke Mahkamah Inner London bagi 28 pertuduhan termasuklah 11 kes rogol yang berbeza.
Polis Metropolitan London (MPS) berkata, Zhenhao menggunakan aplikasi janji temu dalam talian untuk berkenalan dengan wanita-wanita yang menjadi mangsanya.
Zhenhao akan menjemput mereka ke rumahnya dengan memberikan alasan ingin belajar atau minum sebelum membius dan merogol mangsa.
“Zhenhao turut merakam perbuatannya ketika merogol mangsa-mangsa yang tidak sedarkan diri dan menyimpan barang peribadi mangsa seperti barang kemas dan pakaian mereka.
“Polis percaya lebih 50 wanita mungkin menjadi mangsanya dan mangsa masih dalam siasatan untuk dikenal pasti,” jelas MPS.
Polis menemui dadah dan kamera tersembunyi di rumahnya serta bukti ratusan video dan jutaan mesej di komputer riba.
Ini membuktikan bahawa Zhenhao melakukan jenayah itu bukan sahaja di Britain, tetapi juga di China.
Menurut Perkhidmatan Pendakwaan Britain (CPS), Saira Pike, Zhenhao adalah perogol bersiri yang membawa ancaman kepada wanita
“Kami turut berusaha mendapatkan keadilan bagi mangsa yang telah dikenali dan mereka yang masih belum dikenal pasti dalam kes ini,” katanya.
Zhenhao dijadualkan untuk dijatuhi hukuman pada 19 Jun.
Pelajar itu berasal dari Dongguan, Wilayah Guangdong, dan dipercayai berpindah ke United Kingdom (UK) pada 2017 sebelum memulakan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di University College London pada 2019.