LONDON: Selepas 27 tahun melarikan diri daripada pihak berkuasa, seorang lelaki warga Britain yang dikehendaki bagi kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak akhirnya ditangkap sejurus tiba di Lapangan Terbang Heathrow tahun lalu.
Richard Burrows, 79, yang sebelum ini merupakan ketua pengakap dan penjaga di sebuah rumah kebajikan kanak-kanak, hilang tanpa jejak sejak Disember 1997 selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mencabul 11 kanak-kanak lelaki.
Sejak itu, polis melancarkan operasi memburu Burrows, termasuk menyiarkan gambarnya kepada orang ramai serta menggunakan teknologi pengimejan digital untuk menggambarkan rupa terkininya namun, selama lebih dua dekad, usaha itu menemui jalan buntu.
Perkembangan baharu dalam penyiasatan hanya berlaku apabila polis Cheshire menggunakan perisian pengecaman wajah PimEyes yang membandingkan imejnya dengan berbilion gambar dalam talian.
Keputusan yang diperoleh mengejutkan, iaitu satu padanan ditemui dengan seorang lelaki warga Britain yang tinggal di Phuket, Thailand, dikenali sebagai Peter Smith.
Polis Britain segera menjalankan siasatan lanjut mengenai latar belakang lelaki itu dan mendapati dia terbang ke Thailand sekitar waktu yang sama Burrows menghilangkan diri.
Ini mengesahkan ‘Peter Smith’ sebenarnya adalah Richard Burrows yang telah menukar identitinya untuk melarikan diri daripada hukuman.
Namun, sebelum polis dapat mengemukakan permohonan ekstradisi, mereka menerima maklumat ‘Smith’ telah menaiki penerbangan pulang ke Britain.
Setibanya di Lapangan Terbang Heathrow pada 28 Mac tahun lalu, Burrows yang ketika itu dalam keadaan uzur akibat penyakit kanser dan masalah jantung, ditangkap serta-merta.
Di mahkamah, Burrows mengakui identiti sebenarnya dan pada Isnin lalu, dia disabitkan bersalah bagi 97 kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak oleh Mahkamah Mahkota Chester dijangka dikenakan hukuman pada 7 April depan.