GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akui terdapat peningkatan anti-Islam di seluruh dunia.
Keadaan itu mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan diskriminasi, pengecualian dan keganasan terhadap semua umat Islam di seluruh dunia, terutamanya sepanjang bulan Ramadan ketika ini.
Dalam ucapan Setiausaha Agung PBB, yang dibacakan oleh Ketua Staf PBB, Courtenay Rattray di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Antonio Guterres berkata, serangan terhadap umat Islam disifatkan sebahagian daripada ‘bencana’ yang lebih luas berbanding peningkatan ekstremisme, sikap tidak bertolak ansur dan keganasan terhadap kumpuan agama serta komuniti lain.
“Peningkatan anti-Islam terus berlaku di seluruh dunia berdasarkan pemantauan PBB. Sasarannya terus melibatkan kaum, melibatkan pelanggaran hak asasi manusia sehinggalah kepada keganasan langsung terhadap individu dan rumah ibadat,” katanya.
Ucapan itu dibacakan sempena Hari Memerangi Islamofobia yang diwujudkan UNGA sejak 15 Mac 2022.
Cadangan sambutan itu diperkenalkan oleh Pakistan bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diterima pakai untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu Islamofobia global yang semakin meningkat.
Hari itu juga bertujuan menangani peningkatan sentimen anti-Muslim dan memupuk komitmen global untuk memerangi diskriminasi, pengecualian dan keganasan terhadap umat Islam.
Dalam pada itu, ucapan Guterres turut menyentuh kepentingan menjaga hak asasi manusia.
“Kita mesti menolak dan menghapuskan sebarang ketaksuban. Kerajaan di seluruh dunia perlu melindungi kebebasan beragama, memupuk perpaduan sosial dan membendung peningkatan ucapan kebencian.
“Kita tidak boleh hanya duduk diam dan melihat perkara yang tidak benar dilakukan,” ujarnya.