SAN ISIDRO: Penemuan lima patung manusia yang dipercayai berusia 2,400 tahun di puncak sebuah piramid purba di hutan El Salvador membuktikan masyarakat asli negara itu mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan dunia Mesoamerika purba berbanding anggapan sebelum ini.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Antiquity pada Rabu, patung-patung tersebut yang mewakili empat wanita dan seorang lelaki ditemui pada tahun 2022 di puncak piramid di San Isidro dan menonjol dengan ekspresi wajah yang pelbagai.
Ketua penyelidik dari Universiti Warsaw, Jan Szymański, berkata reka bentuk unik pada patung tersebut membolehkan ekspresi wajah berubah bergantung kepada sudut pandangan.
“Dari pandangan atas, mereka kelihatan tersenyum; di paras mata, mereka kelihatan terkejut, manakala dari bawah, ekspresi mereka menunjukkan ketakutan,” katanya kepada portal Live Science.
Beliau percaya reka bentuk itu dihasilkan dengan sengaja untuk memperkayakan persembahan ritual yang mungkin menggunakan patung-patung tersebut.
Patung yang dianggarkan berasal dari tahun 410 hingga 380 Sebelum Masihi (SM) itu pada mulanya dipercayai sebahagian daripada upacara pengebumian bagaimanapun, ketiadaan sebarang rangka manusia di lokasi tersebut mendorong penyelidik membuat kesimpulan ia digunakan dalam ritual awam atau pameran.
Tiga daripada patung berkenaan mempunyai ketinggian kira-kira 30 sentimeter, manakala dua lagi bersaiz separuh daripada itu.
Kajian mendedahkan, patung yang lebih besar diukir dalam keadaan telanjang, berkepala boleh berputar dan mulut yang terbuka, manakala dua patung kecil dihiasi dengan rambut di dahi dan anting-anting tergantung di cuping telinga.
Szymański berkata, reka bentuk tersebut mencadangkan patung-patung itu mungkin digunakan sebagai boneka untuk menyampaikan cerita sama ada mitos atau kisah benar yang telah lama hilang dalam lipatan sejarah.
Menariknya, sebahagian daripada patung paling kecil boleh dimuatkan ke dalam torso patung berlubang yang lain, dipercayai melambangkan adegan kelahiran.