MP Perancis desak AS pulangkan semula Patung Liberty - Utusan Malaysia

MP Perancis desak AS pulangkan semula Patung Liberty

MONUMEN terkenal dunia, Statue of Liberty di New York City.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis digesa supaya mengambil kembali Patung Liberty yang dihadiahkan kepada Amerika Syarikat (AS), dengan alasan negara itu tidak lagi mencerminkan nilai-nilai yang menjadi asas pemberian patung bersejarah tersebut.

Dalam satu konvensyen gerakan politiknya, Place Publique pada Ahad, ahli Parlimen Perancis, Raphael Glucksmann secara terbuka mengkritik tindakan AS yang didakwanya berpihak kepada pemimpin diktator serta memecat para penyelidik yang memperjuangkan kebebasan akademik.

“Kami ingin berkata kepada rakyat AS yang menyokong para tiran dan yang memecat penyelidik hanya kerana mereka menuntut kebebasan saintifik, pulangkan semula Patung Liberty kepada kami,” katanya disambut sorakan para penyokong.

Tegas beliau, Perancis telah menghadiahkan patung itu kepada AS sebagai simbol kebebasan, namun melihat kepada keadaan semasa, hadiah tersebut seolah-olah tidak dihargai.

“Kami berikan sebagai hadiah, tetapi nampaknya kalian tidak menghargainya. Jadi, lebih baik patung itu kembali kepada kami,” ujarnya.

Patung Liberty, yang direka oleh pengukir asal Perancis, Auguste Bartholdi, adalah hadiah daripada negara itu kepada AS dan telah dirasmikan di Pelabuhan New York pada 28 Oktober 1886 bagi memperingati ulang tahun ke-100 Deklarasi Kemerdekaan Amerika.

Bagaimanapun, Paris juga memiliki sebuah replika Patung Liberty yang lebih kecil berhampiran sebuah pulau di Sungai Seine.

Glucksmann, yang dikenali sebagai penyokong kuat Ukraine, turut mengecam dasar Presiden AS, Donald Trump, terutamanya berkaitan dengan perang di negara itu serta pemotongan besar-besaran dalam sektor penyelidikan.

Sejak kembali menduduki jawatan presiden pada Januari lalu, pentadbiran Trump telah mengurangkan pembiayaan persekutuan bagi penyelidikan serta berusaha memberhentikan ratusan kakitangan kerajaan dalam bidang kesihatan dan kajian perubahan iklim.

Selain itu, Glucksmann juga mengkritik pemimpin-pemimpin sayap kanan di Perancis yang disifatkannya sebagai “pemujanya Trump dan Elon Musk”. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya