WASHINGTON: Pelancaran misi pertukaran kru di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) semalam memberi harapan untuk membawa pulang dua angkasawan kembali ke bumi selepas mereka terkandas di angkasa lepas selama lebih sembilan bulan.
Roket Falcon 9 dengan kapsul Crew Dragon yang membawa pasukan empat angkasawan, dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida pada pukul 7.03 malam (waktu tempatan).
“Kami meraikan usaha tanpa henti ribuan individu di seluruh dunia yang memungkinkan perjalanan ini,” kata angkasawan Nichole Ayers, juruterbang yang ditugaskan untuk misi Crew-10, sejurus sebelum pelancaran itu.
Bagaimanapun, tumpuan mereka adalah membawa pulang dua angkasawan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) yang terkandas, Butch Wilmore dan Suni Williams.
Kedua-dua bekas juruterbang Tentera Laut AS itu terkandas di makmal angkasa sejak Jun lalu selepas kapal angkasa Boeing Starliner, yang diuji dalam penerbangan kru sulungnya, berdepan masalah dan dianggap tidak selamat untuk membawa mereka pulang ke bumi.
Bagaimanapun, Starliner yang kembali ke bumi tanpa kru, tidak mengalami masalah besar lain dan misi yang sepatutnya mengambil masa hanya beberapa hari bagi Wilmore dan Williams kini sudah berlarutan lebih sembilan bulan.
Tempoh itu jauh lebih lama berbanding tempoh misi standard ISS untuk angkasawan, iaitu kira-kira enam bulan.